MALAYISA JEONSA

Oleh Muhammad Aiman

Wakil Malaysia, Kelab Bolasepak Jeonsa memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah di bumi Beijing apabila mengesahkan tiket beraksi di perlawanan akhir Kejohanan Bolasepak Persahabatan Piala Soong Ching Ling 2016 di China, setelah menundukkan wakil tuan rumah Shenzhen 1-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pagi tadi.

Jeonsa yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke final, menang menerusi jaringan tunggal pemain cilik, Danish Iman Hairul Rizal sekaligus membantu wakil negara itu mengungguli Kumpulan A dengan mengumpul 10 mata.

Meskipun bertandang ke negara tembok besar tanpa sebarang harapan besar sebaliknya sekadar mahu mencari pengalaman, deretan keputusan cemerlang menyaksikan Jeonsa mencipta kejutan mara ke final, dan ketua jurulatih Kamal Daut kini mengidam untuk tamatkan kisah dongeng yang terlakar dengan membawa pasukannya menjulang kejuaraan. 

“Kita hanya perlu seri untuk layak tetapi pemain bermain bermati-matian untuk menang, saya gembira mereka bermain sepertimana diajar. Mereka juga buktikan saiz bukan halangan untuk menang, paling penting adalah kerjasama sepasukan. Malah, pemain yang jaringkan gol (Danish) adalah paling kecil di atas padang.

“Untuk final nanti, saya akan bermain sepertimana perlawanan-perlawanan terdahulu, bermain secara hantaran pendek dan serangan balas. Arahan saya kepada pemain kita menyerang bersama dan bertahan bersama. Ada tiga pemain mengalami kecederaan, tetapi saya harap kecederaan mereka tidak serius dan boleh bermain dalam final esok.

“Saya minta semua rakyat Malaysia mendoakan kejayaan pemain-pemain ini dan berjaya mengharumkan nama Malaysia. Kita datang ke sini bawa imej Malaysia, kita mahu pulang dengan kebanggaan buat Jalur Gemilang,” ujar Kamal.

Untuk rekod, Jeonsa sebelum ini membuka tirai kempen dengan menewaskan satu lagi wakil tuan rumah, Yanbian 5-0, disusuli kemenangan ke atas Vietnam 2-0 dan keputusan seri tanpa jaringan menentang Myanmar.

Menanti Jeonsa di perlawanan akhir adalah Laos yang menjuarai Kumpulan B setelah menundukkan Kemboja, Indonesia dan Thailand, selain seri menentang tuan rumah Beijing.

Piala SCL dianjurkan bersempena ulangtahun ke-25 hubungan China dan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), bermula 28 Julai hingga 3 Ogos.

 

Jadual perlawanan (3 Ogos) :

Final : Malaysia (Jeonsa) lwn Laos (10.40 pg)

- Advertisement -