Expo Halal Malaysia 2019 (MHE2019) yang bermula pada Khamis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur menjadi platform kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran halal di Jepun. Dengan tema “Malaysia to Japan for 2020 Olympics” yang membawa maksud “Malaysia ke Jepun untuk Olimpik 2020“.

“MHE 2019 merupakan kesinambungan kepada memorandum kerjasama berkaitan halal Malaysia-Jepun pada 26 November tahun lalu,” kata Presiden Agro Malaysia, Datuk Seri G Gnanaraja.

Syarikat Malaysia katanya diminta merebut peluang terhadap permintaan produk halal yang tinggi di Jepun terutama menjelang Sukan Olimpik 2020.

Selain itu banyak acara antarabangsa dijadualkan berlangsung di Jepun pasca Sukan Olimpik Musim Panas 2020 yang akan menarik jutaan pelancong termasuk yang beragama Islam, dimana produk makanan halal di Jepun kini sinonim dengan kebersihan dan gaya hidup sihat.

“Permintaan terhadap makanan halal berkembang di pasaran domestik selain daripada kemasukan pelancong beragama Islam.

“Makanan halal bermula atas sebab keagamaan, tetapi hari ini ia lebih kepada gaya hidup sihat dan kebersihan,” katanya.

Gnanaraja berkata permintaan bertambah ketika Jepun membuat persediaan kemasukan pelancong luar yang dijangka meningkat tahun ini sehingga ke Sukan Olimpik nanti.

Katanya, Jepun mensasarkan menerima lebih 40 juta pelancong sempena penganjuran Sukan Olimpik dengan sebahagian daripadanya adalah pelancong beragama Islam.

Justeru katanya syarikat Malaysia perlu memastikan bahawa produk mereka memenuhi keperluan pensijilan dan piawaian yang ditetapkan bagi memasarkan produk halal mereka di negara itu.

“Malaysia mengeksport makanan siap proses bernilai RM4 bilion (US$1.03 bilion) ke negara-negara di Asia Timur pada 2017.

Jepun adalah destinasi eksport produk makanan siap proses yang kedua terbesar Malaysia bernilai RM972 juta (US$249.0 juta) selepas China bernilai RM1.56 billion (US$391.6 juta), diikuti oleh Hong Kong, Republik Korea dan Taiwan,” katanya selepas melawat 320 pempamer yang melibatkan 6 bidang berbeza iaitu makanan dan minuman (F&B), bahan ramuan , bioteknologi , kosmetik , penjagaan kesihatan dan farmaseutikal serta logistik.

- Advertisement -