AUG2016Oleh Ku Mohd Lufti

Tiga-puluh pingat emas menjadi sasaran Kementerian Pendidikan Malaysia kepada kontinjen Malaysia yang akan beraksi di Sukan Universiti ASEAN (AUG) ke-18 di Singapura yang akan membuka tirai pada 8 Julai.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata seramai 213 atlet akan menggalas cabaran negara dalam 13 daripada 16 acara yang dipertandingkan pada temasya itu.

Beliau berkata, sasaran itu adalah paling rendah berbanding semua penyertaan negara di AUG sebelum ini, namun jika berjaya dicapai ia sesuatu yang boleh dibanggakan atas faktor jumlah acara disertai.

“Sasaran kita tidaklah sehebat sebelum ini…tambahan pula jumlah pingat emas yang kita hendak rebut cuma 150 daripada 13 jenis sukan yang kita sertai.

“Selain faktor ramai atlet kebangsaan tidak mengambil bahagian kerana terlibat dengan latihan ke Sukan Olimpik Rio, jumlah 13 acara yang kita sertai juga rendah berbanding 20 acara pada temasya di Palembang, Indonesia sebelum ini,” katanya.

Idris berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia ke AUG, Prof Madya Dr Asri Selamat pada majlis penyerahan Jalur Gemilang dan Lafaz Ikrar Kontinjen Malaysia ke AUG 2016 di Putrajaya.

AUG Singapura menawarkan 522 pingat,  174 emas, 174 perak dan 174 gangsa.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi, Hazally Jali, berkata sasaran 30 pingat emas itu merangkumi 25 peratus jumlah acara yang Malaysia tandingi.

Katanya, ia sudah cukup baik kerana untuk edisi kali ini, kontinjen negara berdepan banyak kekurangan disebabkan ramai atlet institusi pengajian tinggi terlibat dengan Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak, latihan luar negara ke Olimpik Rio serta persatuan sukan tidak membenarkan atlet mereka bertanding pada AUG 2016.

“Banyak halangan kami lalui selain faktor yang dinyatakan…atlet juga berlatih dalam bulan puasa, bertanding dalam bulan Syawal dan ini sedikit sebanyak menjejaskan persediaan mereka,” katanya.

Pada AUG 2014, kontinjen Malaysia berada di tangga ketiga di belakang Indonesia dan Thailand, dengan kutipan 40 pingat emas, 42 perak dan 49 gangsa.

- Advertisement -