Selepas dua minggu berehat, saingan Sepaktakraw League (STL) Premier dan STL Divisyen Satu akan kembali bersambung pada Jumaat.

Dalam saingan STL Premier, persaingan begitu sengit untuk memburu kedudukan tiga teratas manakala Penang Black Panthers pula hanya memerlukan dua kemenangan dari empat perlawanan berbaki untuk mempertahankan kejuaraan.

Namun, saingan Divisyen Satu yang membabitkan 12 pasukan juga tidak kurang hebatnya apatah lagi sang juara akan mendapat tiket untuk beraksi di STL Champions Cup bersama-sama Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan India.

Setelah lima perlawanan, Divisyen Satu sedang diterajui oleh Pahang Mammoth yang unggul mencatat rekod bersih menang kesemua perlawanan dan lebih menarik mereka juga belum tewas walau satu set sekalipun susulan kemenangan 2-0 ke atas Labuan Drillers, PSM Knights, PSM Mavericks, Kedah Eagles dan juga Sarawak Hunter.

Begitupun, pasukan dari pantai timur itu masih belum berada dalam zon selesa kerana sedang dihimpit rapat tiga pasukan iaitu Melaka Titans, Putrajaya Cyborg dan PDRM Defenders – kesemuanya mengumpul empat kemenangan.

Mereka akan berdepan PDRM Defenders dalam aksi pertama pada Jumaat namun setelah dua minggu berehat, mampukah Pahang Mammoth meneruskan momentum kemenangan seterusnya mempertahankan dominasi mereka di kedudukan pendahulu?

Sementara itu, selain kedudukan empat teratas, tumpuan juga terarah kepada Negeri Sembilan Antlers. Meskipun diperkuatkan kelibat perejam sensasi, Khairol Zaman Hamir Akbar, pasukan itu dilihat bergelut untuk menterjemahkan prestasi sebenar mereka dan hanya mencatat dua kemenangan setakat ini.

Pasukan yang pada awalnya disebut sebagai pilihan itu berada di kedudukan ketujuh dan sudah tentunya mahu menjadikan pertemuan menentang pasukan di kedudukan kedua tercorot, Sarawak Hunter sebagai medan kebangkitan dan bersaing bagi menamatkan cabaran di kedudukan paling terbaik.  

Begitupun mereka boleh menjangkakan laluan sukar memandangkan Sarawak Hunter pastinya turun bersemangat bagi memburu kemenangan pertama setelah kecundang lima perlawanan pertama.

Selain Sarawak Hunter, satu lagi pasukan yang masih kekal tanpa kemenangan adalah Labuan Drillers. Mereka akan berdepan Sabah Mountaineers dalam misi memburu kemenangan pertama.

Untuk rekod, dua pasukan teratas Divisyen Satu akan layak beraksi di STL Premier tahun depan manakala juara pula akan mengiringi tiga pasukan teratas STL Premier beraksi di STL Champions Cup yang dijadual berlangsung Disember. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -