Oleh Muhammad Aiman

Setelah lebih sebulan berehat, saingan 100PLUS Liga Premier kembali bersambung pada Jumaat menyaksikan tiga pasukan teratas – Negeri Sembilan, Terengganu dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) kesemuanya mengutip tiga mata.

Negeri Sembilan melakar kemenangan kelapan dari sembilan perlawanan setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Gol tunggal buat skuad kendalian Asri Ninggal dijaringkan oleh Marko Simic pada minit ke-66, membolehkan Negeri Sembilan memimpin carta liga dengan 25 mata.

Terengganu bimbingan Irfan Bakti pula mencatat kemenangan ketujuh setelah membenam cabaran Sabah 2-0 di Stadium Tuanku Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Gol pertama sang penyu dijaringkan oleh Faiz Nasir pada minit ke-33 sebelum pemain import, Lazaro melengkapkan kemenangan dengan menambah satu lagi jaringan di awal babak kedua menyaksikan mereka kekal di tangga kedua dengan mengumpul 21 mata.

Di Nilai, PKNP menundukkan pasukan dilanda skandal rasuah, MISC MIFA 2-1 dengan jaringan kemenangan terhasil tujuh minit sebelum tamat permainan menerusi Gilberto Fortunato.

MIFA terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan penalti Bodric Dimitri pada minit ke-20 sebelum PKNP menyamakan kedudukan 1-1 menerusi kapten pasukan Shahrel Fikri pada minit ke-33.

PKNP ketika ini di tangga ketiga dengan 18 mata, tiga mata mengatasi Johor Darul Takzim II yang turut melakar kemenangan 5-2 ke atas Kuantan FA di Stadium Darul Makmur untuk melonjak ke tangga keempat.

Jaringan buat JDT II terhasil menerusi D.Saarvindran pada minit kedua, Nicolas Fernandez minit kelapan, Jeronimo Baralles (m-54), Shafiq Shaharudin (m-74) dan Syazwan Andik Ishak (m-78).

Perlawanan lain menyaksikan PDRM dan Uitm FC berkongsi satu mata setelah mencatat keputusan seri 1-1 di Stadium Selayang. PDRM bimbingan Fauzi Pilus mendahului menerusi Safuwan Baharudin pada minit ketujuh sebelum Akani Sunday menyamakan kedudukan buat Uitm di babak kedua.

Kuala Lumpur pula menambah derita Perlis apabila mencatat kemenangan 2-0 sekaligus menghadiahkan skuad singa utara itu kekalahan ketujuh mereka musim ini.

Guilherme De Paula muncul wira menerusi dua jaringan pada minit pertama dan 62.

- Advertisement -