2016_Sukma_Games_LogoOleh Ku Mohd Lufti

Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) memberi tempoh kepada persatuan negeri yang terlibat dengan kes kegagalan ujian doping untuk menyerahkan jawapan bertulis selewat lewatnya minggu depan.

Setiausaha Kehormat PABM, Pang Siew Huat menjelaskan, jawapan bertulis seperti yang diminta merupakan prosedur yang telah ditetapkan.

“Minggu depan adalah tempoh terakhir untuk mereka menghantar jawapan bertulis kepada kami (PABM). Saya tidak boleh beritahu nama atlet itu kerana perlu ikut prosedur.

“Walaupun beliau yang memenangi pingat di Sukma tidak mahu membuka sampel B, ia hanya perbualan menerusi telefon sahaja. Atlet itu sudah bekerja dan telah banyak kali menyertai Sukma,” kata Pang Siew Huat.

Atlet angkat berat tersebut yang masih belum didedahkan namanya antara empat atlet yang beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak yang gagal dalam ujian doping.

Ujian tersebut dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Malaysia (ADAMAS) penghujung Julai lalu.

Atlet yang gagal dalam ujian doping bakal berdepan penggantungan daripada menyertai sebarang aktiviti termasuk kejohanan sukan tersebut diantara dua tahun dan maksimum empat tahun.

- Advertisement -