mas-sepaktakraw

Oleh Muhammad Aiman

Pasukan sepaktakraw kebangsaan berdepan masalah baru, kali ini enam pemain dan tiga pegawai digantung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) kerana enggan melakukan ujian doping ketika Kejohanan Piala Raja Thai edisi ke-31, di Bangkok bulan lalu.

Perkara itu disahkan Agensi anti-doping Malaysia (ADAMAS) menerusi satu kenyataan dengan menyatakan kesemua pemain digantung sementara kerana kesalahan itu manakala pegawai pula kerana enggan memberikan kerjasama dan mereka diberi tempoh 14 hari untuk membuat rayuan.

Adalah sedia maklum semua pemain dikehendaki membekalkan sampel air kencing mereka bagi tujuan doping ketika kejohanan itu berlangsung 17 – 23 Oktober lalu, namun diberitakan hanya Malaysia enggan berbuat demikian.

Pada kejohanan itu, Malaysia yang mara ke final membuat keputusan tidak beraksi pada set kedua sebagai bantahan terhadap mutu pengadilan yang berat sebelah, membolehkan Thailand dihadiahkan kemenangan percuma 2-0. 

Mengikut peraturan, perbuatan mengelak daripada menjalani ujian doping tanpa alasan munasabah adalah satu kesalahan serius mengikut artikel 2.3 kod Anti-Doping Dunia (WADA) yang boleh dikenakan penggantungan minimum dua tahun dan maksimum empat tahun.

- Advertisement -