Keputusannya untuk menukar haluan sukan dari olahraga ke berbasikal tidak sia-sia apabila Phi Kun a/p Pan akhirnya dikalungkan pingat emas pada temasya Sukan
Malaysia Ke-20 (Sukma XX).

Pelumba 19 tahun dari Baling, Kedah itu memenangi emas acara Cross-Country Olympic di Taman Cabaran Putrajaya hari ini, dengan catatan masa 1 jam 20 minit 44 saat, meninggalkan dua pencabar terdekat dari Wilayah Persekutuan.

Ia juga melengkapkan aksi bermakna di temasya Sukma XX kali ini kerana selain emas pertamanya, ia juga mengekalkan emas yang dimenangi rakan senegeri Nurul Izzah Izzati Mohd Asri pada temasya Perak 2018.

“Nyata tidak salah saya bertukar sukan suatu ketika dulu. Terima kasih kepada guru sekolah yang mencadangkannya dan jurulatih Nur Alfiza yang menggilap bakat saya ketika mula dulu,” katanya yang Memberi tumpuan kepada larian jarak pertengahan dan jauh ketika menceburi olahraga pada awalnya.

Mungkin dengan emas yang dikalungkan itu, Phi Kun akan lebih serius dalam acara MTB cross-country kerana setakat ini, dia masih tercari-cari arah sebenar sama ada untuk berkayuh dalam bidang lebuh raya, trek atau MTB.

Lebih-lebih lagi, dia kini memegang gelaran juara kebangsaan dalam acara itu dan menduduki tangga ranking ke-473 dunia dengan 50 mata.

- Advertisement -