Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal menggunakan program yang dikenali dengan ‘Projek 24’ bagi pemburu emas di Sukan Olimpik yang akan berlangsung di Paris, Perancis selain memburu podium bagi Piala Thomas bagi tahun 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM Datuk Kenny Goh ketika memperkenalkan idea itu menjelaskan, perancangan semasa, iaitu program bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih diteruskan.

Projek 24 akan dipantau Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choon Hann mempunyai tanggungjawab lebih besar sebagai pemantau bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

 

 

 

Pelan dan program ini dilihat lebih terperinci kerana penilaian dan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih kompetitif ke arah budaya kerja yang lebih cemerlang melibatkan pemain dan barisan kejurulatihan.

Rekod berkenaan kejohanan, tahap kecergasan, kekuatan akan turut direkodkan bersama sama fail individu dan akan dinilai setiap empat bulan.

Tambahnya lagi, pelaksanaan Projek 24 itu akan dibentangkan kepada Mesyuarat Ahli Majlis BAM bagi mendapatkan kelulusan sebelum dilaksanakan sepenuhnya secepat mungkin.

 

 

Selain penilaian individu, Projek 24 juga terarah kepada penerapan semangat berpasukan dan tiada lagi perbezaan antara perseorangan dan beregu kerana mereka digabungkan di bawah satu bahagian.

Perubahan pada struktur kejurulatihan turut berlaku dimana Datuk Misbun Sidek akan mengemudi skuad lelaki terdiri daripada pemain perseorangan dan beregu lelaki sementara Datuk Tey Seu Bock mengendali skuad wanita (perseorangan dan beregu wanita) manakala Chin Ee Hui bertanggungjawab terhadap bahagian beregu campuran.

Struktur Gerak kerja Projek 24 menyaksikan setiap jurulatih akan memberi laporan terus kepada ketua bahagian masing-masing dan Choong Hann bertanggungjawab menyelia projek berkenaan.

Menurut Kenny, BAM juga bersedia melepaskan mana-mana pemain termasuk pemain senior sekiranya mereka gagal melepasi penilaian berkala yang ditetapkan.

 

 

- Advertisement -