Oleh Muhammad Aiman

Impian besar pemain boling padang negara, Soufi Rusly untuk bergelar juara Kejohanan Perseorangan Boling Padang Piala Dunia dinafikan Jeremy Henry dari Australia, sekaligus menyaksikannya berpuas hati dengan pencapaian meraih pingat perak.

Pada aksi final, Soufi jelas gagal menyaingi pemain nombor satu dunia itu yang berada dalam kelas tersendiri, apabila tewas dengan keputusan 5-6, 2-11 di Warilla Bowls and Recreational Club, New South Wales, Australia.

Soufi pada satu ketika dalam laluan untuk melakar kejutan apabila mendahului 4-2 sehingga ke ends keempat namun Henry membuktikan reputasinya selaku juara dunia empat kali sebelum ini dengan bangkit mengikat kedudukan 4-4 di ends kelima.

Setelah beraksi sengit di set pertama, segalanya serba tidak menjadi buat Soufi di set kedua di mana dia membenarkan Henry mencatat kemenangan mudah namun sudah tentunya pencapaian meraih pingat perak Piala Dunia dalam penampilan sulungnya ini satu pencapaian yang cukup mengagumkan.

Di peringkat separuh akhir yang berlangsung pada awal pagi, Soufi mengejutkan juara dunia 2008, Ali Forysth 9-2, 11-6.

Terdahulu dalam aksi berlangsung Rabu, pemain veteran, Nor Hashimah Ismail memenangi pingat gangsa setelah tewas di peringkat separuh akhir kepada pemain New Zealand, Jo Edwards.

Untuk rekod, Malaysia pernah mempunyai juara dunia bagi kategori lelaki menerusi Safuan Said pada 2008 manakala Siti Zalina Ahmad pula pernah memenangi kategori perseorangan wanita pada 2015. 

- Advertisement -