hockey

Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Thunderbolts) menepati ramalan mara ke pentas final Piala Remaja TNB, Ahad ini dengan menewaskan SSP-MSP Thunderbolt menerusi agregat 5-2 selepas mencatat kemenangan 3-2 pada perlawanan separuh akhir kedua.

SSTMI yang selesa dengan agregat dua gol hasil kemenangan pada separuh akhir pertama, terus konsisten pada aksi timbal balik.

Kemenangan itu bermakna, SSTMI akan membuat perhitungan dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ Thunderbolt) pada aksi final, Ahad ini.

Ketua jurulatih SSTMI, Wan Roslan Wan Rahman berkata, beliau hanya mahu barisan pemainnya beraksi sebaik mungkin tanpa perlu beraksi dalam tekanan.

“Tidak kiralah berapa jumlah jaringan, saya hanya mahu mereka mencatatkan kemenangan. Cuma ada beberapa kelemahan yang perlu kami atasi sebelum turun pada perlawanan final nanti,” katanya.

SSTMI di depan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh kapten pasukan Mohammad Aliff Syazwan Noorshah.

Bagaimanapun SSP-MSP bangkit dengan meledak dua gol, masing-masing menerusi pukulan sudut penalti Muhamad Ikmal Hafiz Zulkifli dan Muhammad Idris Samad pada minit ke-13 dan 26.

Muhammad Fitri Khairul Ariffin menyamakan kedudukan untuk SSTMI hasil gol padang minit ke-27 sebelum Mohammad Aliff menjaringkan gol kemenangan dua minit selepas itu menerusi pukulan sudut penalti.

Terdahulu, meskipun tewas 3-4 kepada Anderson pada perlawanan separuh akhir kedua, SSBJ tetap mara ke final menerusi agregat 8-7 selepas mencatat kemenangan 5-3 pada separuh akhir pertama.

Ketua jurulatih Lokman Yahaya berkata, meskipun lega mara ke pentas final, beliau sedikit gusar dengan prestasi barisan pemainnya di hujung perlawanan.

“Anderson mula mengasak di hujung perlawanan dan ia sedikit sebanyak memberi tekanan kepada kami. Apapun, akhirnya kami berjaya juga mara ke final. Kami perlu memperkemaskan benteng pertahanan pada perlawanan final nanti,” katanya.

- Advertisement -