Dewan Senat Filipina hari ini sebulat suara bersetuju untuk meluluskan cadangan bagi pembentangan bajet 2019 yang berjumlah P 3.757 trilion selepas bacaan ketiga dilakukan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak P7.5 bilion telah diluluskan bagi perbelanjaan untuk penganjuran Sukan SEA 2019 yang akan berlangsung hujung tahun ini.

Laporan media tempatan, Rappler.com, peruntukkan P7.5 bilion atau lebih 142 juta Dolar US akan diserahkan kepada Suruhanjaya Sukan Filipina daripada Jabatan Luar Negeri.

Presiden Majlis Olimpik Filipina (POC), Ricky Vargas sebelum ini diberi mandat untuk mengawal peruntukkan yang akan diberikan bagi penganjuran temasya dwi tahunan, Sukan SEA yang akan berlangsung di negara itu.

Kali terakhir Filipina menjadi tuan rumah Sukan SEA adalah pada 2005 dimana kontroversi melibatkan proses audit masih belum berakhir susulan sejumlah wang yang besar ‘lesap’.

Pemimpin dan pegawai tertinggi sukan negara itu dipanggil untuk membantu siasatan namun kesemua yang terlibat saling menunding jari kepada pihak lain sekaligus menyukarkan proses siasatan.

Persoalan juga timbul sebelum ini dimana timbul spekulasi peruntukkan bagi Sukan SEA 2019 akan dikawal Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Luar Negara, namun telah diputuskan bajet temasya edisi ke 28 akan diurus tadbir oleh Pesuruhjaya Sukan Filipina.

Vargas juga akan memastikan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC), Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) dan Majlis Olimpik Filipina (POC) akan dipantau rapi bagi memudahkan urusan audit.

 

- Advertisement -