Sukma XVII Perlis 2014 LogoSeramai tiga (3) orang atlet Sukan Malaysia XVII, Perlis 2014 yang berlangsung pada 23 Mei hingga 03 Jun 2014, telah disahkan gagal pada ujian doping yang dijalankan ke atas mereka pada temasya berkenaan. Mereka ialah Dhia Danial Bin Mohd Kharil daripada Wilayah Persekutuan (sukan berbasikal), Siti Fazera Binti Ishak dari Perlis (angkat berat 75 kg) dan Jelinie Em Pera dari Sarawak (angkat berat 75 kg).

Perkara ini telah disahkan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) melalui suratnya yang bertarikh 19 September 2014 kepada Majlis Sukan Negara (MSN) selaku sekretariat temasya Sukan Malaysia.

Untuk makluman, seramai 405 orang atlet telah diambil sampel air kencing mereka secara rambang untuk ujian anti-doping pada Sukan Malaysia Perlis yang lalu dan sampel-sampel tersebut telah dihantar untuk dianalisis di National Dope Testing Laboratory-New Delhi, India.

Hasil ujian tersebut, sampel atlet Dhia Danial Bin Mohd Kharil dan Jelinie Em Pera telah disahkan mengandungi Anabolic Steroid manakala sampel Siti Fazera Binti Ishak didapati mengandungi Diuretics, kesemuanya bahan yang dilarang oleh World Anti Doping Agency (WADA).

Daripada tiga atlet tersebut, hanya Jelinie Em Pera yang telah memenangi pingat pada temasya berkenaan iaitu dua (2) pingat emas selain turut dianugerahkan sebagai Atlet Wanita Terbaik Sukan Malaysia XVII, Perlis 2014.

Berdasarkan kepada hasil keputusan yang dikeluarkan oleh pihak Adamas itu, pihak sekretariat Sukan Malaysia akan mengambil tindakan susulan ke atas ketiga-tiga atlet terbabit berlandaskan kepada Peraturan Am Sukan Malaysia Perkara 7.3 iaitu:

Jika seseorang peserta itu mewakili pasukan/mengambil bahagian dalam acara individu dan didapati positif ujian doping dan/atau ujian breathalyser, pasukan/penyertaan individu tersebut dengan sendirinya akan terbatal. Sekiranya pasukan/individu yang dibatalkan turut memenangi pingat, kemenangan tersebut akan juga turut terbatal dan pingat-pingat yang dimenangi akan ditarik balik. Pingat-pingat dan mata akan dianugerahkan kepada peserta-peserta terbaik berikutnya.

Sehubungan itu, MSN selaku pihak sekretariat Sukan Malaysia akan menarik balik pingat kemenangan Jelinie Em Pera termasuk Anugerah Atlet Wanita Terbaik Sukan Malaysia Perlis 2014 yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketika Upacara Penutup Sukan Malaysia Perlis 2014 yang lalu.

Pihak Sekretariat Sukan Malaysia juga akan menyerahkan pingat-pingat berkenaan kepada peserta-peserta terbaik berikutnya seperti yang termaktub di dalam peraturan yang ditetapkan itu.

MSN bagaimanapun melahirkan rasa kekesalan atas insiden yang berlaku dan memandang serius penyalahgunaan dadah di kalangan atlet remaja. Selaku Sekretariat Sukan Malaysia, MSN sentiasa berusaha memastikan temasya berkenaan bersih daripada sebarang gejala tidak sihat terutama penyalahgunaan dadah serta alkohol dengan meminta Adamas serta Institut Sukan Negara (ISN) menjalankan ujian-ujian doping dan breathalyser ke atas atlet.

MSN di bawah Program Pelapis Negeri dan Kebangsaan turut sentiasa mengutamakan pendidikan aspek doping menerusi ceramah dan kempen dengan kerjasama Adamas dan ISN, bagi memastikan atlet-atlet muda tanah air tidak terjebak dengan gejala berkenaan.

Untuk makluman, persediaan atlet ke temasya Sukan Malaysia adalah di bawah tanggungjawab Majlis Sukan Negeri masing-masing dan juga di bawah persatuan sukan masing-masing.

Sehubungan itu, sebarang bentuk tindakan susulan termasuk rayuan atau penggantungan hasil daripada kesalahan doping, adalah di bawah bidang kuasa Persatuan Sukan Kebangsaan yang terbabit.

- Advertisement -