powermn-2

Oleh Ku Mohd Lufti

Meskipun berlatih secara sendiri tanpa bimbingan mana mana pakar, atlet duathlon, Muhd Syafiq Rusli tetap memasang impian untuk menaiki podium di perlumbaan Powerman Asia Duathlon yang akan berlangsung pada 5 Mac 2017.

Malah, kejayaan meraih tempat ketiga Kejohanan Dunia ITU Powerman Duathlon 2016 di Zofingen, Switzerland dalam kategori 20 hingga 24 tahun awal September lalu menyuntik semangat pelatih Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu untuk melakukan yang terbaik dilaman sendiri.

“Sasaran saya adalah tiga teratas di Putrajaya nanti, selepas ini saya menyertai Iroman Langkawi pada bulan depan. Latihan penuh untuk persediaan tahun depan akan diadakan pada Disember sehingga Mac, saya ada masa lebih kurang tiga bulan sahaja.

“Saya tiada jurulatih, saya berlatih sendiri di universiti bersama rakan-rakan yang lain. Bagi kejohanan Powerman itu nanti, 20 rakan-rakan di UPNM akan turut serta dan mereka merupakan cabaran besar untuk saya,” kata Syafiq Rusli.

Sementara itu, lebih 3,000 perserta tempatan dan luar negara dijangka akan membanjiri Putrajaya akan mengambil bahagian dalam Powerman Asia Duathlon 2017 termasuk atlet global dan golongan elit.

Untuk rekod, selepas dihentikan selama dua tahun, kejohanan yang diadakan di Putrajaya pada Mac lalu telah mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records bagi ‘ Penyertaan Terbesar Kejohanan Duathlon’ di Malaysia dengan 2645 peserta.

Powerman Asia Duathlon merupakan perlumbaan yang meibatkan dua displin, larian-berbasikal-larian yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000.

- Advertisement -