Prestasi yang merudum, tiada program pembangunan yang jelas serta masalah dalaman yang masih berlarutan menjadi faktor utama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengumumkan tiga sukan; angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan sebagai sukan teras negara.

Perbincangan dan keputusan ini dibuat selepas penilaian secara mendalam dilakukan dinatara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) termasuk membuat semakan semula dan kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan tersebut sejak 2007.

Angkat berat digugurkan susulan prestasi yang semakin merosot selain pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atlet sukan itu dalam ujian doping manakala sepak takraw digugurkan kerana tidak menunjukkan peningkatan prestasi

Sementara taekwondo hanya mempunyai pencapaian terbaik di Sukan SEA sahaja manakala di kejohanan antarabangsa lain, tiada sebarang pencapaian terhasil selain masalah dalaman yang masih gagal diselesaikan.

“Prestasi angkat berat negara semakin merosot dan atlet-atlet menghadapi masalah disiplin dengan tujuh kes doping dilaporkan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) sejak empat tahun lepas. Sepak takraw pula dari aspek pembangunan tidak sangat diberi tumpuan dan ranking dunia digugat oleh negara-negara baharu.

“Pencapaian taekwondo kita pula sangat tidak memuaskan. Sukan ini tidak mempamerkan pencapaian yang positif dan kemelut sukan taekwondo masih gagal menyatukan penggiat sukan itu,” kata Lhairy selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan 100PLUS bersama Bandar Sukan Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Pengguguran sukan tersebut bermakna ia tidak akan disenaraikan sebagai sukan yang wajib dimasukkan ke dalam Sukan Malaysia dan akan menjadi sukan pilihan.

Selain itu, sebarang program pembangunan sukan tidak akan diberi keutamaan dan ia terserah kepada persatuan persatuan terlibat untuk mengurus dan membangunkan sukan masing masing.

Namun, Khairy akan memastikan KBS dan MSN akan membantu untuk mengembalikan serta memulihkan semula tiga sukan yang digugurkan dan penilaian akan dijalankan selama dua tahun sebelum diputuskan untuk disenarai kembali ke dalam sukan teras.

Langkah ini dibuat untuk memastikan sukan di Malaysia di tahap yang terbaik selepas pencapaian yang Malaysia miliki sepanjang 2017.

“Kita akan mengakhiri tahun 2017 ini sebagai antara tahun terbaik sukan di Malaysia. Juara keseluruhan SUkan SEA ke 29, tujuh gelaran juara dunia dan inilah masa untuk kita buat keputusan yang mungkin sukar, tidak popular, mungkin akan mengundang reaksi politik dan sebagainya. Tetapi saya perlu berkeras.

“Namun, MSN akan bekerjasama rapat dengan persatuan-persatuan tersebut untuk kita bangunkan semula sukan-sukan berkenaan dan ada peluang untuk sukan-sukan itu dimasukkan semula sebagai sukan teras,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khairy memberi jaminan bahawa pengguguran itu tidak akan menjejaskan atlet sepak takraw yang berada di dalam Program Podium sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia 2018 di Indonesia.

“Saya ingin memberi jaminan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bahawa atlet yang tersenarai dalam Program Podium, kekal dalam program itu. Ini disebabkan mereka merupakan atlet elit dan masih mempunyai peluang untuk mendapat kedudukan podium di Sukan Asia tahun depan,” kata Khairy lagi.

 

- Advertisement -