mas-sepaktakraw

Oleh Muhammad Aiman

Isu doping dan boikot perlawanan membabitkan pasukan sepak takraw kebangsaan dijangka selesai dengan cara baik, demikian menurut Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail.

Ahmad Ismail berkata beliau sudahpun mengadakan pertemuan empat mata dengan Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kadir (Setiausaha Agung ISTAF) di Singapura minggu lalu dan maklumbalas awal dilihat positif.

“Saya yakin isu ini boleh diselesaikan dalam suasana kekeluargaan. Saya telah memberi penjelasan dan penerangan terperinci tentang dua isu itu, dan beliau memberi maklumbalas positif. Saya yakin semuanya boleh dianggap selesai,” kata Ahmad Ismail.

Kem sepaktakraw negara dipalit kontroversi bulan lalu, apabila enam pemain digantung sementara oleh ISTAF atas dakwaan lari dari menjalani ujian doping ketika beraksi di kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok manakala dua pegawai dikenakan hukuman sama kerana enggan bekerjasama.

Sementara 12 pemain lain dan tiga lagi pegawai turut dalam pemerhatian ISTAF kerana bertindak memboikot perlawanan akhir menentang Thailand dengan regu kedua tidak turun beraksi, atas alasan tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

“Kita akan memberi kerjasama terbaik kepada ISTAF dengan mematuhi segala prosedur yang ditetapkan. PSM akan menguruskan perkara ini, jadi pemain tidak perlu bimbang, mereka hanya perlu fokus pada latihan dan dan pertandingan,” kata Ahmad Ismail lagi.

Ahmad juga memberitahu, bagi membuktikan pemain-pemain negara tidak mempunyai masalah untuk menjalani ujian doping, Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) dijangka mengadakan ujian secara rawak pada separuh akhir Liga Sepaktakraw (STL), Sabtu ini.

- Advertisement -