Kuala Lumpur (25 Januari 2019):  Univerrsiti Kuala Lumpur (UniKL) berdepan detik cemas sebelum dapat menewaskan Nur Insafi 3-1 pada saingan Liga Perdana, TNB Liga Hoki Malaysia di Stadium Tengku Abdullah, hari ini.

Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj nyata lega dengan keputusan itu selepas menyaksikan barisan pemainnya bergelut untuk mendapatkan gol sepanjang 45 minit pertama perlawanan.

“Saya harus berikan pujian kepada Nur Insafi kerana mereka bermain dengan bersungguh-sungguh serta memberi komitmen tinggi ketika beraksi.

“Jika mereka mempamer aksi yang sama seperti hari ini, ia pasti akan menyukarkan pasukan lain. Apapun yang penting ialah kami dapat meraih tiga mata penuh dan saya harap pemain dapat meneruskan aksi konsisten ini pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Nur Insafi bermula baik apabila di depan seawal minit ke-8 menerusi gol padang bekas pemain kebangsaan, Ismail Abu yang menerima hantaran dari jauh.

Nur Insafi berpeluang untuk menambah gol kedua apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti minit ke-17, namun ia dinafikan penjaga gol UniKL, David Harte.

UniKL melakukan serangan pantas selepas itu dan hasilnya mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi tonggak import, Robert Kemperman minit ke-18. 

Bersambung separuh masa kedua,  UniKL dilihat menggandakan asakan tetapi mereka masih kekal buntu untuk mencari gol tambahan sehinggalah berakhir suku ketiga.

Pemain skuad kebangsaan, Marhan Jalil akhirnya melegakan UniKL apabila menjaringkan gol kedua minit ke-49.

Belum sempat untuk Nur Insafi memperkemaskan rentak permainan mereka, UniKL meraih gol ketiga menerusi Faridzul Arif Mohd pada minit yang sama.

- Advertisement -