welson.1

Oleh Muhammad Aiman

Prestasi memberangsangkan sepanjang mengharungi sesi latihan dan pertandingan selama dua minggu dalam siri Jelajah Mare Nostrum di Eropah baru-baru ini, menyuntik keyakinan buat perenang Olimpik negara, Welson Sim betapa dia berada dalam tahap persediaan terbaik untuk beraksi di Sukan Olimpik Rio De Janeiro Ogos depan.

Welson membuktikan dia tidak gentar bersaing dengan atlet-atlet terkemuka dunia apabila melakar sensasi di persinggahan pertama Mare Nostrum di Monaco dua minggu lalu dengan meraih pingat perak acara 400m gaya bebas dan kemudiannya gangsa acara 200m gaya bebas.

Perenang kelahiran Sarawak itu turut memperbaiki catatan masa peribadi yang juga kelayakan kategori B bagi acara 1,500m gaya bebas dengan melakukan 15:32.67s sekaligus mencerahkan peluang untuk menambah satu lagi slot acara di Rio.

Begitupun, Welson sebolehnya tidak mahu dibebani sebarang tekanan yang berpotensi menganggu fokus dan persiapannya tatkala dia mahu memanfaatkan tempoh enam minggu yang tinggal sebelum Olimpik bermula untuk memperbaiki lagi prestasinya.

“Keputusan di Mare Nostrum menunjukkan bahawa persiapan saya berada di landasan yang betul, ia satu pengalaman hebat untuk bersaing dan berlatih dengan perenang terbaik dunia di sana. Mereka berterusan mengerah saya untuk memperbaiki teknik dan catatan masa.

“Saya percaya boleh buat yang lebih baik di Rio jadi saya mahu guna sebaiknya masa yang ada. Sasaran saya paling utama di Rio nanti adalah perbaiki catatan masa peribadi dalam kedua-dua acara yang juga merupakan rekod kebangsaan,” kata Welson selepas menerima kunjungan Chef De-Mission Sukan Olimpik Rio, Tan Sri Mohd Al-Amin Abdul Majid di Kompleks Sukan Paralimpik pada Khamis.

Di Rio, Welson akan beraksi dalam acara 200m dan 400m gaya bebas lelaki manakala bagi acara 1,500m, dia perlu menunggu sehingga awal bulan depan keputusan dari FINA sama ada catatan masa B yang direkodkannya itu memadai untuknya beraksi dalam acara itu.

Dalam pada itu, Al-Amin mengharapkan agar semua pihak memberikan sokongan dan semangat berterusan kepada Welson yang akan membuat penampilan sulung di pentas Olimpik, bukan memberikannya tekanan.  

“Saya telah mendengar laporan dari jurulatih (Paul Birmingham) dan pengurus, Welson berada dalam tahap yang cukup baik. Saya yakin dia akan penuhi harapan untuk memperbaharui catatan masa peribadi di Rio.

“Kita harus ingat, dia masih muda, ini kali pertama dia ke Olimpik. Memang semua mahu lihat dia buat yang terbaik tetapi jangan itu jadi satu tekanan buat dia. Kita jangan buat dia tertekan, dia kena enjoy, jangan jadikan ia sesuatu yang susah bagi dia tangani kerana dia ada potensi,” katanya.

Selain itu, Al-Amin turut berharap akan ada tambahan atlet renang yang mengiringi Welson ke Rio apabila keputusan FINA diketahui bulan depan – buat masa ini, peluang dilihat masih ada buat salah seorang dari tiga perenang wanita iaitu Phee Jinq En, Khoo Cai Lin dan Erika Kong selain pemenang emas Sukan Sea, Wong Fu Kang.  

Skuad renang Olimpik negara akan bertolak ke Florida pada 20 Julai untuk persiapan terakhir seterusnya menyesuaikan diri dengan perubahan zon masa di sana.

- Advertisement -