‘Perang’ di Jepun tampak bakal kembali reda apabila Yoshiro Mori sah melepaskan jawatannya sebagai Presiden Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 hari ini.

Ia susulan kenyataan Mori yang ‘memperlekehkan’ kaum wanita ketika berucap di mesyuarat Jawatankuasa Olimpik Jepun sekaligus menimbulkan reaksi negatif.

Majoriti mahu Mori meletakkan jawatan sebagai pemimpin utama Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 kerana apa yang telah diucapkan dianggap melampau kerana mewujudkan diskriminasi.

Yoshiro Mori mengumumkan perletakkan jawatan ketika mesyuarat khas bersama Majlis dan Ahli Lembaga Tokyo 2020 yang berlangsung hari ini.

“Hari ini saya meletakkan jawatan sebagai presiden,”kata bekas Perdana Menteri yang berusia 83 tahun itu.

Beliau dilantik sebagai Presiden Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 sebulan selepas Jepun memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Olimpik pada 2014.

“Apa yang penting adalah menganjurkan Olimpik pada Julai. Justeru, saya tidak boleh menjejaskan persiapan. Jika saya menjadi penyebab, usaha kita akan menjadi sia sia,”katanya lagi.

Tambah Mori lagi, beliau mengakui komennya menimbulkan suasana tidak menentu namun tidak berniat untuk memperlekehkan kaum wanita.

Dengan keadaan semasa yang tidak menentu, penganjur terus melakukan persiapan dan pada masa yang sama, mencari pengganti untuk menduduki kerusi nombor satu organisasi itu dalam tempoh kurang enam bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tokyo 2020, Toshiro Muto menjelaskan, tiada ketetapan masa diletak untuk pemilihan Presiden Tokyo 2020 dan Panel Pemilihan akan diketuai Pengerusi Canon Inc. Fujio Mitarai.

Spekulasi awal menyebut, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Jepun, Saburo Kawabuchi antara calon yang berkemungkinan mengisi jawatan itu.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dalam pada itu telah menerima makluman tentang perletakkan jawatan Mori dan menghormati keputusannya.

- Advertisement -