Bekas kapten Hanelang FC, Zairo Anuar Zailani nyata cukup terkilan dan tidak tahu kepada siapa lagi mahu mengadu mengenai sengsara ditanggung gara-gara kemelut tunggakan gaji membabitkan pasukan itu yang berlarutan begitu lama.
Lebih malang, Zairo juga pernah menyarung jersi Terengganu City yang terpalit dengan isu sama memandangkan kedua-dua pasukan berada di bawah pengurusan yang sama.
Menurutnya semua pihak termasuk badan induk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga sehingga kini tidak membantu menyelesaikan masalah justeru dia bukan sahaja mengharapkan campur tangan daripada kerajaan negeri, tetapi kami juga memohon jasa baik Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk membantu menoktahkan isu itu.
“Kedua-dua pasukan adalah ahli gabungan PBSNT, jadi sebagai ahli gabungan PBSNT mana kebajikan kami? Kami ada kontrak hitam putih dengan kelab kami, bantulah kami usah biarkan kami keseorangan menuntut hak, siapa lagi perlu dengar rintihan kami jika tidak persatuan?
“Ini kerana aduan sudah dibuat kepada FAM, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan kerajaan negeri, namun setakat ini semuanya hampa malah bayang pun tidak nampak.
“Dulu ketika bersama mengharumkan nama Terengganu kami dihargai tapi kini bukan setakat nak hargai atau nak tolong, tanya khabar pun tidak seolah-olah kami tidak ada sumbangan langsung kepada negeri sebelum ini.
“Kami harap PBSNT bantu kami, lihat kesusahan kami, bukannya bersikap membisu dalam hal ini lagipun surat sudah dihantar kepada kerajaan negeri dan PBSNT,” ujar Zairo yang juga bekas kapten Terengganu.
Sports247 difahamkan sebuah syarikat yang menguruskan projek perumahan, Tulangis Group telah mengambil alih pengurusan bagi kedua-dua pasukan itu setelah pada awalnya hanya bertindak selaku penaja pasukan.
Tetapi baru-baru ini syarikat itu mendakwa mereka hanya kekal sebagai penaja bagi skuad Hanelang 2018 dan pasukan itu masih di bawah seliaan Persatuan Bolasepak Daerah Hulu Terengganu (PBDHT).
Malah Tulangis menyatakan jumlah tajaan berjumlah RM600,000 beserta tambahan RM200,000 juga sudah diserahkan kepada Hanelang FC sepertimana dipersetujui dan menyifatkan dakwaan mereka adalah pemilik bagi pasukan itu adalah tidak berasas.
Manakala bagi skuad Terengganu City 2018 pula, syarikat itu mengakui mereka telah bersetuju untuk mengambil alih tetapi tidak mendapat kuasa penuh dari pengurusan lama.
Pertelagahan nampaknya tidak membantu menyelesaikan masalah, sebaliknya semakin mengusutkan keadaan kerana apa yang pasti semua tidak mahu bertanggungjawab, semua ibarat mahu ‘lepas tangan’.
Sebagai rekod, di sebalik kemelut tunggakan gaji selama tiga ke lima bulan, Terengganu City tetap berjaya muncul juara Piala FAM 2018 dengan menundukkan Selangor United dalam aksi final.
Tetapi Hanelang pula ‘tersungkur’ di separuh jalan apabila isu tersebut membuatkan pasukan itu terpaksa ditutup, dan difahamkan tunggakan mereka ada yang mencecah sehingga ke sepuluh bulan.
Apakah akan ada sinar buat pemain dan anggota pasukan yang teraniaya, adakah FAM, kerajaan negeri mahupun PBSNT dapat mencari satu solusi terhadap kemelut ini? – OLEH MUHAMMAD AIMAN