Juara bertahan, Bukit Aman dan Pulapol Kuala Lumpur akan membuat perhitungan dalam aksi final saingan hoki Divisyen Perdana Piala Ketua Polis Negara 2018 di Stadium Hoki Wisma Belia di Kuantan, esok.

Bukit Aman mara ke final selepas menewaskan Selangor 5-1 dalam aksi separuh akhir, hari ini manakala Pulapol KL membuktikan kehebatan dengan kemenangan 5-1 ke atas Johor.

Sebagai rekod, Bukit Aman yang mendapat khidmat kapten skuad negara, Razie Abdul Rahim dan pemain tengah, Nabil Fiqri pada final edisi 2017 berjaya menewaskan Selangor 7-2 di Johor.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan tidak dibenarkan bermain untuk mana-mana pasukan dalam kejohanan tahun ini.

Dalam aksi separuh akhir antara Bukit Aman dengan Selangor, Wellorince Wilis meledak dua gol buat juara bertahan itu pada minit ke-7 dan 21 manakala Azreen Rizal Nasir, Maxhan Chisti dan Mohd Fitri Abd Manan masing-masing meledak satu gol minit ke-17, 45 dan 59 bagi menambah derita lawan mereka.

Gol saguhati Selangor diperoleh menerusi Faizal Reza Mohd Noor minit ke-41.

Pengurus pasukan Bukit Aman, Mohd Rizaudden Abdullah enggan anak buahnya memandang rendah kemampuan Pulapol KL memandangkan lawan mereka itu beraksi dengan baik dan perlu dihormati.

“Baljit Singh adalah pemain utama mereka dan kami perlu menyekat dia daripada menjaringkan gol. Sudah pasti kami juga perlu menghentikan mereka daripada mendapat pukulan sudut penalti,” kata Rizaudden.

“Pemain saya sudah bersama sejak lima tahun lalu dan hanya beberapa perubahan dilakukan. Kami mula menjalani latihan lima hari sebelum bulan puasa dan kini kami gembira dapat melangkah ke final.”

Sementara itu, pengurus pasukan Pulapol KL, DSP William Michael Lazaroo, berkata aksi final dijangka akan menjadi perlawanan yang menarik dan sengit antara kedua-dua pasukan.

“Kami sepatutnya boleh menghasilkan keputusan yang lebih baik jika pemain berjaya menyempurnakan setiap peluang yang dimiliki. Aksi final menentang Bukit Aman sudah pasti akan menjadi perlawanan yang cukup menarik dengan kedua-dua pasukan memilki kekuatan yang hampir sama.

“Jika kami boleh menyempurnakan setiap peluang yang ada bagi menjaringkan gol, saya percaya keputusan positif akan terhasil,” katanya.

Pada pertemuan dengan Johor, Mohd Nasir Zainol Abidin meledak dua gol minit ke-5 dan 38 manakala Baljit, Mohd Fuad Aziz dan Mohd Nurubaidillah Awang masing-masing menjaringkan satu gol minit ke-43, 45 dan 59.

Johor meraih satu gol menerusi jaringan Mohd Zairil Mohd Zafri minit ke-30.

Johor dan Kuala Lumpur akan beraksi untuk penentuan tempat ketiga dan keempat.

 

- Advertisement -