TIADA siapa menyangka seorang budak lelaki yang baru berusia sekitar 14 tahun sanggup menghabiskan masanya di kedai basikal, bertanya mengenai peralatan basikal, memerhati mekanik melakukan tugas dan ikut bersama-sama berkayuh.

Selang beberapa tahun kemudian, budak lelaki itu, Abdul Azim Aliyas mencipta namanya sebagai pelumba muda berbakat yang setakat ini sudah memenangi dua pingat emas di Sukan Malaysia Ke-20 (Sukma XX), walaupun gagal memenangi sebarang pingat pada temasya 2016 di Perak.

Ketika mata peminat sukan berbasikal lebih tertumpu kepada negeri Johor dan Terengganu yang mendominasi Sukma XX ini, pelumba yang dilahirkan pada 10 Oktober 2002 itu menghadiahkan dua emas dalam acara 4km kejar-mengejar individu dan perlumbaan tahan lasak Omnium pada Sukma XX kali ini.

Lebih membanggakan pada usia muda, pelumba yang masih berusia 19 tahun dan mewakili Negeri Sembilan itu, kini berdaftar sebagai salah seorang pelumba profesional bersama Kuwait Pro Cycling Team sejak Mac lalu.

Malah sejak awal 2022 ini, dia sudah berlumba di Thailand, Itali, Belgium, Estonia, Perancis dan Turki untuk pasukan profesional benua Asia itu.

Jaminuddin Ismail, pemilik kedai basikal Jami Bike Center (JBC) di Kajang, Selangor yang, bertanggungjawab membimbing Abdul Azim pada awal pembabitannya dalam sukan berbasikal,Ā  menyifatkan pelumba itu mempunyai minat mendalam dan bakat semulajadi yang jarang ada pada pelumba lain.

Katanya, Abdul Azim sanggup berkayuh bersama kumpulan berbasikal JBC dan sering kali tercicir jauh di belakang, tetapi dia tidak mudah mengalah dan sentiasa berusaha memperbaiki kekurangan dirinya sehingga kini dianggap antara pelumba berpotensi untuk pergi lebih jauh di negara ini.

ā€œPencapaian yang dikecapi setakat ini adalah hasil usaha Abdul Azim sendiri yang sentiasa mahu belajar, rajin berlatih dan berdisiplin. Dia juga beruntung kerana sentiasa mendapat sokongan dan galakan daripada ibu bapanya sejak usia muda,ā€ katanya.

- Advertisement -