Pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid masih masih mencari gol pertamanya di pertandingan Piala AFF Suzuki 2018 namun dia percaya akan dapat melakukannya pada waktu yang tepat tatkala Harimau Malaya sedang dalam persiapan menentang Thailand dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

“Saya tidak terlalu memikirkannya, saya tidak mahu terlalu tamak memburu rekod peribadi. Siapa jaringkan gol sebenarnya tidak menjadi satu isu, saya gembira melihat dua pemain senior (Norshahrul dan Zaquan) mengungguli senarai penjaring dan bagi saya apa yang lebih penting adalah kita bermain sebagai satu pasukan.

“Mungkin bukan rezeki saya lagi untuk menjaringkan gol, mana tahu saya akan mula menjaringkan gol ketika lawan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, atau mungkin di Bangkok, masa itu akan tiba, saya tidak perlu terlalu gopoh dan kemudiannya menyebabkan pasukan kerugian,” kata Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2018 itu.

Sebagai rekod, Harimau Malaya telah menjaringkan tujuh gol telah dalam empat perlawanan peringkat kumpulan namun hanya dua nama berada dalam carta penjaring iaitu Norshahrul Idlan Talaha yang unggul dengan empat gol manakala Zaquan Adha Abdul Radzak pula tiga gol.

Sebagai rekod Safawi merupakan penjaring terbanyak keseluruhan Johor Darul Takzim musim ini dan juga penjaring terbanyak skuad bawah 23 tahun negara di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang berlangsung Ogos lalu dengan empat gol. 

Antara momen paling diingati di temasya itu sudah tentunya apabila dua jaringan pemain kelahiran Terengganu itu ketika Malaysia melakar kejutan menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi peringkat kumpulan sekaligus menoktahkan kemarau kemenangan 44 tahun ke atas pasukan gergasi Asia itu.  

Di Piala AFF Suzuki pula, statistic daripada Opta menunjukkan bahawa Safawi merupakan pemain Harimau Malaya paling banyak melakukan percubaan iaitu 19 percubaan, enam daripadanya adalah percubaan tepat.

Penyokong sebenarnya tidak kisah siapa yang menjaringkan gol, yang mereka mahukan adalah kemenangan buat Harimau Malaya.

Selepas aksi pertama pada Sabtu, Malaysia akan bertandang ke Bangkok untuk aksi timbal balik pada 5 Disember depan.- OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -