Oleh Ku Mohd Lufti

Adakah wujud konspirasi untuk mengugut pihak tertentu?tahap pemikiran yang bersifat kebudak budakan?atau sikap tunggu dan lihat?

Yang mana satu mungkin sedang berlaku di dalam tiga pasukan, Selangor, Kelantan dan Perlis yang menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri dari Liga Malaysia?

Isu peruntukkan, tajaan bukan cerita yang baru berlaku, malah ada sesetengah pasukan yang bergelut sepanjang musim untuk terus beraksi di kancah Liga Malaysia.

Di media massa, Kelantan dan Selangor cukup terkenal ketika ini apabila meluahkan hasrat untuk menarik diri daripada Liga Malaysia bagi musim 2017 susulan tiada dana.

Impian menggunung, mahukan pelbagai trofi dan kejayaan, tetapi pengurusan lemah tanpa usaha keras, ibarat duduk di pejabat sambil goyang kaki.

Cukup masa keluar dan menadah tangan dengan muka yang tebal kepada kerajaan pusat untuk mendapatkan dana.

Tidak salah untuk menggunakan dana daripada kerajaan pusat, tetapi ianya harus berkurangan dari pada musim seterusnya secara berterusan sekaligus membuktikan betapa professional sebuah pasukan itu.

Andai ini mampu direalisasikan, tidak mustahil misi untuk menjadi pasukan berstatus professional boleh ditubuhkan kelak, dan bukan lagi pengurusan persatuan bolasepak yang tebal muka menadah tangan daripada kerajaan negeri.

Samada sedar atau tidak, peruntukkan yang ada pada setiap kerajaan negeri adalah titik peluh rakyat, mustahil mana mana pengurusan tidak sedar akan hal ini.

Tiada guna jika pengurusan berpangkat besar, tetapi tidak memberikan sebarang idea untuk menstabilkan persatuan kerana Malaysia mempunyai banyak syarikat yang bersedia menjadi penaja.

Mungkin sudah bosan dikaitkan dengan mencontohi Johor Daru Takzim, pengurusan Kelantan (KAFA) dan Selangor (FAS) boleh melihat Melaka United, Air Asia Allstars atau kini dikenali dengan Petaling Jaya FC.

Dua pasukan ini membuktikan status sebagai pasukan kerdil bukan cerita utama, azam, dan hasrat pengurusan yang benar benar mahukan kejayaan berusaha keras untuk membuktikan syarikat luar, mereka sudah bersedia untuk bekerjasama dalam menghasilkan kejayaan demi kejayaan di masa akan datang.

Cukuplah dengan drama kalian, andai tiada idea, langkah terbaik adalah berikan jawatan tersebut kepada yang lebih layak.

- Advertisement -