Penang Black Panthers memerlukan hanya dua kemenangan sahaja lagi dari empat perlawanan yang berbaki untuk mengesahkan kejuaraan Sepaktakraw League (STL) Premier 2017.  

Dengan 18 mata hasil sembilan kemenangan dari sepuluh perlawanan, pasukan bimbingan Helmi Ismail itu ibarat berada dalam kelas tersendiri dan semakin jauh meninggalkan pencabar lain.

Malah, pencabar terdekat Terengganu Turtles yang mengumpul 12 mata juga sudah mengangkat ‘bendera putih’ dalam misi mengejar biarpun berjaya meraih kemenangan moral dengan menewaskan Johor Tigris dalam aksi terakhir sebelum saingan berhenti rehat selama dua minggu pada Ahad lalu.

Pasukan dari pantai timur itu kini mengalihkan tumpuan untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua namun perlu diakui ianya bukan mudah tatkala mereka sedang diekori rapat oleh Kelantan Warriors, ATM Guardians dan Perak Bison yang mengumpul 10 mata.

Dengan tiket beraksi di STL Champions Cup menjadi pertaruhan bagi tiga pasukan terbaik STL Premier, cabaran dua pasukan dari Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur Thunder dan Selangor Pistons juga tidak boleh dipandang enteng.

Kesemua enam pasukan itu menamatkan saingan minggu kelima dengan mencatat satu kemenangan untuk menghidupkan peluang masing-masing justeru tiada pasukan yang boleh disifatkan mempunyai kelebihan atau dilabel pilihan.

Kekuatan kesemua pasukan kelihatan seimbang dan sedang bersaing sengit sesama mereka sekaligus menjadikan ianya pertarungan menarik enam penjuru yang semakin mendebarkan.    

Sementara itu, pada ketika Penang Black Panthers menghampiri kejuaraan dan enam pasukan memburu kedudukan tiga teratas, Johor Tigris pula berada dalam zon bahaya dan sedang berjuang untuk mengelak dari tersingkir ke saingan Divisyen Satu musim hadapan.

Pasukan itu gagal memperbaiki kedudukan mereka di tangga tercorot setelah tewas buat kali kelapan dan perlu tampil dengan aksi luar biasa untuk memenangi kesemua perlawanan berbaki jika  berhasrat mengubah nasib mereka.

Pasukan mana akan berada di kelompok tiga teratas seterusnya menyambar slot beraksi di STL Champions Cup dan siapa pula yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada STL Premier, apakah akan ada kesudahan penuh dramatik bagi saingan musim ini?

Semuanya cukup sukar untuk diramal dan saingan lebih rancak dijangka apabila ia kembali bersambung selepas rehat dua minggu dengan kesemua pasukan pastinya memanfaatkan kesempatan untuk memperkemas dan menajamkan semula sentuhan.OLEH MUHD AIMAN

 

 

 

Keputusan minggu kelima STL Premier :

27 Oktober : Penang Black Panthers mng Johor Tigris (2-0; 21-5, 21-15), Selangor Pistons mng Terengganu Turtles (2-1; 19-21, 21-15, 21-17)

28 Oktober : ATM Guardians mng Kuala Lumpur Thunder (2-0; 21-16, 21-19), Selangor Pistons mng Terengganu Turtles (2-1; 19-21, 21-15, 21-17), Penang Black Panthers mng Kelantan Warriors (2-1; 17-21, 21-17, 21-18)

29 Oktober : Terengganu Turtles mng Johor Tigris (2-1; 21-10, 18-21, 21-15), Perak Bison mng ATM Guardians (2-1; 17-21, 21-13, 21-19), Kuala Lumpur Thunder mng Selangor Pistons (2-0; 21-13, 21-14)

- Advertisement -