Dato’ Sri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos sah mengekalkan kedudukannya selaku Presiden Persatuan Badminton Badminton Kuala Lumpur (KLBA) bagi penggal 2022-2026 selepas menang tanpa bertanding.

Beliau yang juga Timbalan Presiden 2 Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap barisan kepimpinan yang baharu ini melipatgandakan usaha mereka untuk terus membawa KLBA sebagai salah satu ‘pengeluar’ pemain-pemain badminton terbaik untuk masa depan.

“Saya berharap agar barisan baharu yang turut dibarisi individu profesional dari pelbagai bidang termasuk akademik serta lagenda badminton mampu untuk merencanakan perjalanan KLBA ke satu tahap yang lebih tinggi berdasarkan pengalaman dan pencapaian yang telah kita capai.

“Malah, program pembangunan yang sentiasa menjadi teras utama persatuan dalam melahirkan pelapis dan permata baharu sukan badminton negara pastinya akan menjadi agenda utama KLBA”, kata Dato’ Sri Dr Jahaberdeen selepas Mesyuarat Agung Tahunan KLBA kali ke-30 yang berlangsung di PETRONAS Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.

Selain jawatan Presiden, Mohd Taupik Haji Hussain turut mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden selepas menang tanpa bertanding.

Jawatan yang dipertandingkan adalah Naib Presiden di mana tiga calon iaitu Prof Dr Sivamurugan Pandian, Assoc. Prof P. Thinavan dan lagenda badminton negara, Datuk Razif Sidek telah diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan tersebut.

Manakala jawatan Setiausaha Kehormat KLBA disandang Vincent Chin yang juga merupakan bekas pemain badminton Kuala Lumpur, menggantikan S Rajoo yang telah menabur bakti kepada persatuan selama 16 tahun.

Untuk kedua-dua jawatan di atas, dimenangi tanpa bertanding setelah pesaing-pesaing lain menarik diri sebelum Mesyuarat Agung bermula.

Persatuan Badminton Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1980 di mana Wong Eng Kiong menerajui organisasi sehingga 1984 sebelum mendiang Dato’ Punch Gunalan yang juga merupakan lagenda badminton Negara mengambil alih tugas itu sehingga 2008.

Dato’ Sri Jahaberdeen juga berkata, “Kejohanan Badminton Piala Punch Gunalan bakal diperkenalkan oleh KLBA bagi mencungkil bakat-bakat baharu di peringkat akar umbi sekaligus merancakkan lagi proses pembangunan badminton kebangsaan.”

KLBA juga menjadi salah satu tunjang buat BAM dalam melahirkan bakat-bakat muda yang berkualiti seperti Wong Choong Hann yang kini menggalas tugas sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Datuk Rashid Sidek, pemain bergu lelaki negara yang memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Soh Wooi Yik dan pemenang pingat emas sukan Paralimpik Tokyo 2020 bagi acara badminton kelas SU5, Cheah Liek Hou.

SENARAI JAWATAN

PRESIDEN – DATO’ SRI DR. JAHABERDEEN MOHAMED YUNOOS

TIMBALAN PRESIDEN – MOHD TAUPIK HAJI HUSSAIN

NAIB-NAIB PRESIDEN – DATUK RAZIF SIDEK, PROFESSOR DR. SIVAMURUGAN PANDIAN, ASSOC. PROFESSOR P. THINAVAN

SETIAUSAHA KEHORMAT – VINCENT CHIN

BENDAHARI KEHORMAT – HAZARUDDIN HASSIM

AHLI-AHLI BIASA – JOEL JARED WILLIAM A/L BALAKRHISHNAN, ZAHARUDEEN HARUN, MOHAMAD FUDHAIL AHMAD JULAINI, KHYRIL ANUAR RAHIM

- Advertisement -