Nama dan kelibat Muhd Harry Danish Mohd Haizon tidak dikenali secara umum sehinggalah 28 Julai lalu, namanya mula muncul apabila berjaya meledak hatrik ketika membantu skuad bawah 15 tahun negara melakar kemenangan selesa 8-0 ke atas Brunei Darussalam dalam saingan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asean (AFF) Bawah 15 tahun 2019 yang berlangsung di Chonburi, Thailand.

Kelibatnya menjadi pilihan pengendali skuad B15 negara, P Maniam disaat akhir, untuk menggantikan pemain yang mengalami kecederaan  bagi menghadai Kejuaraan AFF B15.

Antara individu yang rapat dengan Harry, M Kaviarasu antara yang tersenyum manis melihat usaha keras anak didiknya yang diberi peluang untuk beraksi bersama sama skuad kebangsaan.

“Terima kasih kepada barisan kejurulatihan kebangsaan kerana mengiktiraf dan memberi peluang kepada Harry di kejohanan ini (AFF B15).

“Dia seorang pemain yang sentiasa bekerja keras, memberi 100 peratus setiap kali di beri peluang beraksi dan bijak menggunakan peluang untuk menjaringkan gol atau mencipta ruang kepada rakan,”kata Kaviarasu.

Pencapaian yang dilakar Danish pastinya menyuntik semangat barisan pengurusan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) untuk terus mencari dan menggilap bakat bakat baru untuk dijadikan sebagai prospek terbaik buat skuad kebangsaan.

“Pihak sekolah dan barisan kejurulatihan SSTMI amak gembira dengan pencapaian ini dan akan memastikan sentiasa ada pemain dari SSTMI mewakili pasukan kebangsaan tanpa mengira peringkat umur.

“Kami juga mengharapkan apa yang telah dilakukan oleh Harry menjadi motivasi kepada pemain pemain lain di SSTMI untuk meningkatkan prestasi jika mahu menyarung jersi kebangsaan,”katanya lagi.

 

 

Dari satu aspek, M Kaviarasu yang juga pengendali skuad bawah 15 tahun SSTMI yang beraksi di Liga Piala Menteri Pelajaran Malaysia tahun ini melihat Sekolah Sukan Negeri menjalankan tugas dengan baik dalam membentuk dan mencari bakat bakat baru.

Penubuhan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dilihat satu inisiatif yang terbaik daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dimana pemain pemain yang dianggap terbaik dari seluruh negara dipilih dan dibawa ke AMD untuk diberikan pendedahan yang lebih khusus.

Hakikatnya, persaingan yang timbul ketika ini, diantara AMD, Sekolah Sukan Negeri dan sekolah lain dilihat cukup membanggakan, malah tidak kelihatan jurang yang terlalu ketara, sekaligus membuktikan kesemua pihak memainkan peranan secara serius dalam menggilap bakat bakat baru.

“Di AMD, pemain pemain terbaik dikumpulkan, manakala SSTMI atau SSN adalah pemain pemain di ranking kedua. Dari segi kemampuan tidak banyak perbezaan kerana sistem latihan di SSN sama. Kita berlatih dua sesi sehari, bergantung kepada fasa latihan.

“Cuma pemain pemain di SSTMI kekurangan jumlah perlawanan yang kompetitif dan pendedahan pertandingan luar negara berbanding dengan AMD,”katanya lagi.

 

- Advertisement -