perak.pkns

Oleh Muhammad Aiman

Johor Darul Takzim nyata terlalu unggul untuk disaingi Kedah apabila tampil dengan aksi bersahaja untuk mencatat kemenangan 5-0 dalam perlawanan ke-13 Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin pada Sabtu.

Hakikatnya, Harimau Selatan tidak perlu pun mengerah sepenuh kudrat atau dalam kata lain berada pada prestasi terbaik mereka tatkala kemenangan besar ini turut dibantu aksi longlai dan kepincangan pertahanan sang Lang Merah.

JDT tidak membenarkan isu luar padang untuk menganggu fokus mereka terlalu lama dan mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan ketua pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-27 dan 41.

Tiga lagi jaringan terhasil di babak kedua menerusi Marcos Antonio pada minit ke-66 dan dua jaringan ayam tambatan Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-80 dan 85 untuk JDT mencatat kemenangan kesepuluh musim ini dan masih lagi menjadi satu-satunya pasukan belum tewas dalam saingan Liga Super.

Skuad kendalian Mario Gomez ketika ini mendahului liga dengan 33 mata, dua mata mengatasi pasukan tangga kedua Felda United yang terus mengekori rapat dengan beza dua mata setelah menewaskan Perak 2-1.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Bandar Tun Razak, Jengka, dua gol pantas dalam masa empat minit oleh Lutfulla Turaev (m-24) dan Zahrahan Krangar (m-28) sudah memadai buat anak buah Irfan Bakti mengutip tiga mata dan membalas dendam kekalahan 2-3 pada pusingan pertama di Ipoh.

Gol jaringan Mohd Fazrul Hazli sudah terlewat buat skuad Karl Heinz Weigang untuk menterjemahkan kebangkitan, sekaligus menyaksikan sang seladang terus terperosok di kedudukan kedua tercorot liga dengan hanya mengutip 11 mata.

Di Stadium Shah Alam, Selangor bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Polis Diraja Malaysia 2-1 dan mengukuhkan cengkaman di kedudukan ketiga.

Jaringan penyerang kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri dan pemain import baru, Ugochukwu Ukah pada minit terakhir perlawanan memadam kelebihan PDRM yang mendahului 1-0 di babak pertama menerusi Guilherme De Paula.

Dengan 25 mata, Red Giants ketinggalan enam mata di belakang Felda dan lapan mata di belakang JDT namun dalam masa sama mereka memiliki kelebihan besar sembilan mata mengatasi pasukan tangga keempat Kelantan, sekaligus persaingan memburu kejuaraan Liga Super kini dilihat sebagai pertarungan tiga penjuru.

Sementara itu, Pahang mencatat kemenangan pertama mereka selepas lima perlawanan dengan menewaskan Sarawak 2-0 di Stadium Darul Makmur, menerusi dua jaringan pemain import baru Pablo Andres Vranjican pada minit ke-37 dan 74.

Manakala dalam aksi penuh dramatik di Kuala Terengganu, Pulau Pinang membawa pulang tiga mata setelah menundukkan T-Team 4-3, terima kasih kepada dua bintang import baru Ranti Martins dan Jeong Seok Min yang meledak dua jaringan masing-masing.

Tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Patrick Cruz pada minit ke-19, namun Pulau Pinang bangkit menjaringkan dua gol untuk mendahului 2-1 menerusi Martins (m-36) dan Seok Min (m-59).

T-Team menyamakan kedudukan 2-2 sekali lagi menerusi Patrick pada minit ke-64 namun Harimau Kumbang tidak menunggu lama untuk kembali mendahului menerusi Seok Min tiga minit kemudian.

Tatkala skuad Rachmad Dermawan dilihat sudah berhasil menyelamatkan satu mata menerusi penalti disempurnakan Patrick pada minit ke-82 yang juga hatrik buatnya, Martins muncul pemusnah apabila meledak jaringan keempat pelawat pada minit ke-85.

Kemenangan bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Pulau Pinang di tangga tercorot, manakala T-Team kekal di tangga kelima dengan 16 mata.

- Advertisement -