Nauraj Raj

Dua atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei (gambar utama) dan Nauraj Singh Randhawa gagal untuk melakar kejutan di peringkat final lompat tinggi Sukan Komanwel Gold Coast 2018 pada Rabu.

Turun dengan hajat besar mahu menjadi atlet olahraga pertama memenangi pingat di pentas Sukan Komanwel selepas 16 tahun, kedua-duanya bagaimanapun tidak dapat menterjemahkan potensi sebenar apabila kandas awal di final.

Hup Wei yang berjaya melakukan lompatan 2.21 meter gagal melepasi ketinggian 2.24m sekaligus menyaksikannya menamatkan cabaran di tempat kelapan.

Hup Wei yang tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya menjelaskan, “Saya cuba untuk berikan yang terbaik, tetapi ketika mahu melakukan cubaan pertama untuk 2.24m, saya mengalami hamstring. Jadi saya bergelut, apapun kalah tetap kalah, saya tidak mahu cari alasan.”

Nauraj pula lebih awal tersingkir apabila sekadar melakukan lompatan 2.18m namun gagal melepasi ketinggian 2.21m dan berakhir di kedudukan ke-10 dari 13 atlet.

“Ia bukan hari saya, segalanya serba tidak menjadi. Saya langsung tidak menghampiri tahap sebenar,” kata Nauraj yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan 2.30m.

Pingat emas menjadi milik Brandon Starc dari Australia dengan catatan 2.32m, pingat perak dimenangi Jamal Wilson dari Bahamas (2.30m) dan gangsa Django Lovett dari Kanada juga 2.30m. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -