JEONSA-MYANMAR

Oleh Muhammad Aiman

Bendera Malaysia terus berkibar megah di bumi Beijing tatkala pasukan negara yang diwakili Kelab Bolasepak Jeonsa meneruskan aksi cemerlang di Kejohanan Persahabatan Remaja Piala Soong Ching Ling (SCL) 2016.

Setelah menjinakkan wakil tuan rumah, Yanbian FC 5-0 pada Ahad, jaringan Aiman Hafiz Rushdi dan Amirul Aiman Hamdan membantu skuad kendalian Kamal Daut mencatat kemenangan kedua dengan menundukkan pasukan kebangsaan Vietnam 2-0 awal pagi tadi, disusuli keputusan seri tanpa jaringan menentang Myanmar di sebelah petang. 

Keputusan itu membolehkan Malaysia mengungguli Kumpulan A dengan tujuh mata, dan hanya memerlukan keputusan seri menentang satu lagi wakil tuan rumah, Shenzhen FC dalam perlawanan terakhir kumpulan pada Selasa untuk mara ke perlawanan akhir.

“Semua tahu pasukan kita dibentuk hanya pada bulan Ramadhan lepas, saya hanya berpeluang melatih mereka selama sebulan, itupun hanya pada hujung minggu namun pemain-pemain menunjukkan karakter dan disiplin yang bagus untuk cepat sesuaikan diri.

“Sasaran awal cari sebanyak mungkin pengalaman dan berada di kalangan lima pasukan terbaik, tetapi kini kita berpeluang mara ke akhir, saya harap pemain akan mengekalkan disiplin sama dan kerjasama sepasukan tinggi untuk cuba mencipta kejutan apabila berdepan Shenzhen esok (Selasa).

“Kita tahu ia bukan satu perlawanan yang mudah, apa pun kami janji berikan yang terbaik, terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada kami di tanah air, doakan kejayaan kami dalam menjulang nama negara,” kata Kamal. 

Shenzhen yang berada di tangga kedua kumpulan dengan enam mata sudahpun memberi bayangan betapa mereka tidak akan memberi laluan mudah kepada Malaysia.

Pasukan itu menundukkan Vietnam 10-0 dan menghidupkan peluang untuk turut mengintai tempat ke final yang akan berlangsung pada Rabu, 3 Ogos.

Untuk rekod, juara Kumpulan A akan berdepan juara Kumpulan B yang dianggotai Indonesia, Thailand, Kemboja, Beijing dan Laos untuk menentukan kejuaraan Piala SCL yang dianjurkan bersempena ulangtahun ke-25 hubungan China dan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), bermula 28 Julai hingga 3 Ogos.

 

Keputusan Piala SCL Beijing (1 Ogos) :

Malaysia                     2          0          Vietnam

Yanbian (China)          1          1          Myanmar

Malaysia                     0          0          Myanmar

Vietnam                       0          10        Shenzhen (China

 

Jadual perlawanan (2 Ogos) :

Shenzhen lwn Malaysia

Yanbian lwn Vietnam

 

Kedudukan Kumpulan A

Malaysia                      7 mata

Shenzhen (China)       6 mata

Yanbian (China)          4 mata

Myanmar                     4 mata

Vietnam                       0 mata

- Advertisement -