Malaysia akan bertemu Thailand dalam aksi final Kejuaraan Futsal AFF 2017.

Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung pada Rabu, Malaysia menyingkirkan tuan rumah, Vietnam dengan keputusan 5-1 untuk mara ke final buat kali pertama selepas tujuh tahun manakala Thailand pula mengesahkan tempat di final buat kali ke-13 dengan menundukkan Myanmar 8-3.

Ini adalah kali ketiga Malaysia dan Thailand dipertemukan di perlawanan akhir selepas edisi 2003 dan 2005 yang mana skuad negara tewas kedua-dua perlawanan itu.

Kedua-dua pasukan juga telahpun bertembung dalam aksi Kumpulan B sebelum ini dengan Thailand memenangi perlawanan itu 6-3.

Berdepan sorakan ribuan penyokong tuan rumah di Stadium Tertutup Phu Tho, Bandar Ho Chi Minh, Malaysia bimbingan Chiew Chun Yong tampil dengan kekuatan mental dan keyakinan tinggi malah beraksi jauh lebih baik dari aksi-aksi terdahulu. 

Hasilnya, dua jaringan dari pemain tonggak, Khairul Effendy Baharin serta satu masing-masing oleh Awaluddin Mat Nawi dan Akmarulnizam Idris meletakkan mereka selesa mendahului 4-0 di separuh masa pertama.

Vietnam cuba bangkit di separuh masa kedua dan melancarkan serangan bertali arus untuk memecahkan kebuntuan jaringan namun pasukan negara utuh bertahan dan kecemerlangan penjaga gol Azrul Hadee Md Taufiq turut mengecewakan skuad bimbingan Miguel Rodrigo itu.

Keghairahan Vietnam menyerang kemudiannya memakan diri apabila Malaysia berjaya menjadikan kedudukan 5-0 sekali lagi menerusi Akmarulnizam yang baru sahaja menyertai Kuantan Rangers FC pada bulan lalu sebelum gol saguhati tuan rumah dijaringkan Ngo Noc Son pada minit akhir.

Thailand pula bermula dengan rentak perlahan apabila mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi Rawin Rattanawongswa dan Muhammad Osamanmusa malah membenarkan Myanmar untuk mengecilkan jurang menerusi Pyae Phyo Maung di awal separuh masa kedua.

Begitupun, skuad Jose Mendez itu menunjukkan belang sebenar apabila menambah enam jaringan selepas itu menerusi Nattavut Madyalan (2 gol) serta Osamanmusa, Peerapol Satsue, Chaivat Jamgrajang dan Weerasak Srichai.

Aksi final akan berlangsung pada Jumaat, 3 November. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -