Berikutan kenyataan Filipina menarik diri daripada menjadi tuan rumah Sukan SEA 2019 atas alasan mahu memberi tumpuan kepada pembinaan bandar akibat terjejas dalam pertempuran sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan kesediaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA sekali lagi.

Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata, “Mengenai isu ini, saya boleh katakan bahawa kita mampu mengendalikan sukan SEA ini dan kita bersedia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2019 menggantikan Filipina.

“Sebaik sahaja kita dapat surat rasmi daripada Jawatankuasa Olimpik Filipina, kita pasti memaklumkan kepada semua,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka anjuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Arena Tan Sri Hamzah, Kompleks Sukan Tertutup MOM, Kuala Lumpur, hari ini (23 Julai).

Namun, Tan Sri Tunku Imran menjelaskan segala keputusan untuk menjadi tuan rumah bagi temasya dwitahunan itu bergantung sepenuhnya kepada pihak kerajaan.

“Tetapi, kita tidak boleh teruskan niat kita tanpa sokongan daripada pihak kerajaan kerana kerajaan perlu menjamin penganjuran sukan SEA ini jadi apa-apa keputusan kita akan maklumkan kemudian,” katanya lagi.

Terdahulu, Filipina sah menarik diri daripada menjadi tuan rumah Sukan SEA Edison ke-30 melalui pengumuman Pengerusi Pesuruhjaya Sukan Filipina, William Ramirez ekoran masalah kewangan.

Sebelum ini, Filipina diumum sebagai tuan rumah Sukan SEA edisi ke-30 pada 2015 yang juga bakal menjadi penganjuran kali keempat selepas pertama kali menjadi tuan rumah pada 1981, 1991, dan 2005. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI

- Advertisement -