SJOERD Bax menghadiahkan kemenangan peringkat kali ketiga buat Alpecin-Deceuninck pada PETRONAS Le Tour de Langkawi 2022 apabila memenangi pecutan terakhir Peringkat 7 yang diubah daripada laluan asalnya, hari ini.

Pelumba kelahiran Belanda berusia 26 tahun itu bijak memperdaya dua pencabar terdekat, Willem Jakobus Smit (China Glory Continental Cycling Team) dan Adria Moreno (Burgos-BH) untuk menamatkan kayuhan sejauh 107.1km itu dengan masa 2 jam 20 minit 52 saat.

Kemenangan Bax menyusul selepas kemenangan Jakub Mareczko di Peringkat 4 (Sabak Bernam-Meru Raya) dan Lionel Taminiaux pada Peringkat 5 (Kuala Kangsar-Kulim) pada LTdL 2022 ini.

Dengan laluan yang terpaksa diubah tanpa pendakian ke penamat Gunung Raya seperti jadual asal akibat kerosakan laluan ekoran hujan lebat sehari sebelumnya, laluan landai di bawah cuaca panas hari ini nyata memberikan kelebihan buat pelumba yang memiliki daya ketahanan tinggi.

Bax yang mula menyertai Alpecin awal tahun ini dan dilamar ke pasukan UAE Team Emirate dengan kontrak dua tahun bermula 2023, berada dalam kumpulan pengejar sebelum menyertai dua pelumba lain di depan pada baki 8km ketika peloton yang mengandungi jersi kuning, merah dan putih hanya berkayuh secara selamat.

“Saya gembira dengan kemenangan ini, ia mengesahkan kemampuan saya selepas menang di Coppa Agostini di Itali sebelum datang ke sini. Pasukan kami (Alpecin) berkayuh dengan cemerlang sepanjang minggu ini.

“Saya datang ke Malaysia dalam kondisi yang baik dan yakin. Walaupun rasa agak teruk di bawah cuaca panas ini pada awalnya, saya berasa semakin dapat menyesuaikan diri.

“Saya memilih waktu yang tepat untuk meloloskan diri ke dua pelumba di depan,” kata pelumba kelahiran Gorinchem yang menduduki ranking UCI di tangga 262 itu.

Hanya sedikit aksi membabitkan penyarung jersi hijau Raja Pecut, Erlend Blikra dan pencabar terdekatnya dapat dilihat pada zon pecutan pertama, tetapi selepas itu kedua-dua pelumba itu memilih untuk berada di dalam kumpulan besar.

Tanpa banyak aksi menarik di dalam peloton, semua jersi taruhan kekal disarung penyandang masing-masing dengan pelumba Movistar, Ivan Ramiro Sosa terus selesa dengan kelebihan 23 saat di depan pencabar terdekat dari EF Education-EasyPost, Hugh Carthy.

Pemenang Peringkat 6 dari Uno-X Pro Cycling Team, Erlend Blikra juga mengekalkan jersi hijau Raja Pecut dengan 40 mata, 2 mata di depan pencabar terdekat dari Movistar, Max Kanter.

Dua pelumba Terengganu Polygon Cycling Team, Jambaljamts Sainbayar dan Muhammad Nur Aiman Zariff masing-masing juga berkayuh secara selamat di dalam peloton untuk mengekalkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia dan jersi merah Raja Bukit, menjelang peringkat terakhir esok.

Seperti aksi pada awal enam peringkat lalu, peloton begitu agresif sebaik melepasi zon keraian dengan beberapa cubaan pelumba yang ingin meloloskan diri ke depan tetapi gagal.

Malah sekumpulan 12 pelumba yang berada 17 saat di depan untuk terus menjarakkan diri juga gagal apabila ditangkap peloton hinggalah memasuki zon pecutan pertama di lintasan mula/tamat yang pada jarak 30.8km yang dimenangi pelumba Drone Hopper-Androni Giocattoli, Eduard Grosu, diikuti Blikra dan Kanter.

Hanya selepas itu tiga pelumba, Adria Moreno (Burgos-BH), Willie Smit (China Glory Cycling Team) dan Nichol Pareja (Filipina) meloloskan diri dan berada 1:20s di depan selepas melepasi jarak 38km.

Tiga pelumba itu terus menjarakkan diri hingga berada 4:20s dan enam pelumba lain turut keluar daripada peloton untuk mengejar kumpulan pendahulu itu, tetapi ditangkap peloton yang mula bertindak meningkatkan tempo menjadi 2:15s apabila memasuki jarak 55km.

Jarak terus mengecil kepada 1:55s pada baki 50km tetapi sebaliknya, peloton yang bergerak laju terputus menjadi dua dengan sekumpulan pengejar 17 pelumba yang turut mengandungi Bax lebih agresif mengejar kumpulan pendahulu manakala peloton seolah-olah tidak berminat untuk mengejar.

Ketika Pareja akur dan tercicir daripada kumpulan depan, pelumba lain terus menjarakkan diri daripada peloton yang mula bergerak laju dan Bax membuat keputusan untuk mengejar dan menyertai Smit dan Moreno di depan pada baki 8km, sebelum membuat henjutan kemas pada 100meter terakhir.

Peringkat 8 dan terakhir LTdL 2022 esok akan menutup tirai mengikut laluan asalnya, Kuah-Langkawi Loop sejauh 115.9km yang menjadi peluang terakhir buat pencabar merampas keempat-empat jersi yang dipertaruhkan.

Laluan membabitkan tiga zon pecutan di lokasi mula/tamat pada Km 30.8, 89.5 dan 98.3 serta tiga zon pendakian Kategori 3 di Lebuhraya Langkawi pada Kilometer 91.0, 99.8 dan 108.6. 

- Advertisement -