jm2016-3

Oleh Ku Mohd Lufti

Peringkat pertama Jelajah Malaysia 2016 dimenangi pelumba pasukan Pishgaman Giant Rahim Emami sekaligius menyarung jersi kuning selaku pendahulu dan biru selaku raja pecut.

Hari pertama dengan jarak 206.5 kilometer, perlumbaan bermula dari Dataran Merdeka dan tamat di Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak.

88 pelumba dilepaskan dari Dataran Merdeka oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tepat jam 10 pagi tadi.

Pelumba pelumba tempatan termasuk daripada Terengganu Cycling (TSG) aktif memburu mata di zon pecutan di Serendah, Bidor dan Kampar serta pendakian tunggal hari pertama di Templer untuk memburu lima jersi yang dipertandingkan.

Nur Amirul Fakhruddin daripada TSG antara pelumba tempatan yang berada dalam kelompok pendahulu, malah turut meraih 4 mata selepa menduduki tempat kedua di dua zon pecutan, Bidor dan Kampar.

10 kilometer terakhir, Rahim Emami meningkatkan kelajuan kayuhan untuk meninggalkan peloton sekaligus mengekori rapat kelompok pendahulu.

Kayuhannya nyata sukar untuk dicabar pelumba pelumba lain sekaligus menamatkan perlumbaan selaku juara peringkat pertama dengan catatan masa 4 jam 44 minit 5 saat.

“Kami letiga kerana baru tiba tengah hari semalam. Cuaca yang panas dan perlumbaan yang panjang hari ini. Terima kasih kepada rakan rakan yang membantu saya dalam mencapai kemenangan di peringkat pertama ini,” kata Rahim.

Malah, beliau turut mensasarkan kemenangan di peringkat kedua esok termasuk menakluk dua pendakian kategori  Hors di Kampung Raja dan Brinchang.

“Pasukan kami terdiri daripada pakar pendaki dan harapnya tuah akan memihak pasukan ini dan mengekalkan jersi kuning.” Katanya lagi.

Tempat kedua dan ketiga pula milik dua pelumba pasukan 7 Eleven Sava RBP, Rustom Lim dan Edgar Nohales Nieto yang ketinggalan 18 saat, sementara pelumba TSG, Nur Amirul Fakhruddin pula berpuas hati ditempat keempat.

“TSG cuba sasar podium tetapi nasib tidak menyebelahi kami, untuk esok, kami hanya simpan tenaga kerana sasaran kami adalah cuba menang di tiga peringkat terakhir,” kata Amirul Fakhruddin.  

Rahim Emami menyarung jersi kunig selaku pendahulu dan jersi biru, raja pecut selepas mengumpul 15 mata, 1 mata dibelakang Rustom.

Jersi merah atau raja bukit dimenangi Bambang Suryadi daripada pasukan Black INC Cycling.

- Advertisement -