SELANGOR HOKI WANITA

Oleh Muhammad Aiman

Selangor mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan A hoki wanita Piala Razak 2016 setelah bangkit dari ketinggalan untuk membenam cabaran Johor 2-1 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Isnin.

Kedua-dua pasukan yang mencatat keputusan seri 3-3 menentang lawan masing-masing pada perlawanan kedua semalam, tampil dengan permainan berhati-hati dan ianya Johor yang membuka jaringan terlebih dahulu menerusi Nur Amirah Abu Samah pada minit ke-16.

Walaupun kebal menahan asakan berterusan Selangor, kedegilan pertahanan Johor akhirnya runtuh pada 10 minit terakhir perlawanan – Nurul Safikah Md Isa menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-51 dan Zafikah Zainudin menjaringkan gol kemenangan lima minit kemudian, juga melalui pukulan sudut penalti.

Ianya adalah kemenangan kedua buat skuad bimbingan Wan Samsuri Hassan yang kini mendahului Kumpulan A dengan tujuh mata, tiga mata mengatasi Pahang dan Johor yang mengumpul empat mata.

Pahang yang menterjemahkan kebangkitan dramatik ketika menentang Selangor, tidak bermasalah menundukkan PDRM 3-1 menerusi jaringan Nur Afiqah Hazirah Ashri, Annur Amira Suziani dan Nuraini Abdul Rashid manakala gol tunggal PDRM dijaringkan Suzanne Anak Majang.

Dalam aksi Kumpulan B, ATM melakar kemenangan kedua untuk menerajui kedudukan liga dengan enam mata setelah menewaskan Kuala Lumpur 3-2.

Tiga gol dalam tempoh sembilan minit pertama perlawanan menerusi dua jaringan pukulan sudut penalti Rosmah Azrin pada minit ke-5 dan 9, serta jaringan Izzuin Ismail pada minit ke-7 memastikan tiga mata buat ATM.

Terengganu yang garang membelasah Negeri Sembilan 10-0 pada Ahad pula jatuh ke tangga kedua setelah sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Sabah.

Ianya Sabah yang dilihat menghampiri kemenangan kedua mereka apabila Ermah Marin menjaringkan gol tiga minit sebelum tamat permainan namun Terengganu perlu berterima kasih kepada jaringan minit akhir Nur Aisyah Hashim yang menyelamatkan satu mata berharga buat mereka.

Bagi aksi Kumpulan C pula, Melaka turut mencatat kemenangan kedua setelah menundukkan Pulau Pinang 1-0 menerusi jaringan tunggal Nurul Aqilah Izzati pada minit ke-18 manakala Perak bangkit dari kekalahan di perlawanan pertama denga menundukkan Kedah 3-1.

Gol buat Perak dijaringkan oleh Khairunnajwa Khairrudin, Amira Natasha Abu Hasim dan Nor Aini Tajuddin manakala gol tunggal Kedah dijaringkan Nur Amirah Syakirah Zulkifli

Empat lagi perlawanan akan berlangsung pada Selasa, dengan Selangor akan menentang PDRM manakala Sarawak bertemu Pahang bagi aksi Kumpulan A.

Aksi Kumpulan B pula akan menyaksikan pertemuan antara Sabah menentang ATM dan Negeri Sembilan menentang Kuala Lumpur.

- Advertisement -