Jodoh diantara pelumba Moto2 negara, Zulfahmi Khairuddin bersama SIC Racing Team berakhir serta-merta selepas persetujuan kedua-dua pihak.

Menerusi kenyataan daripada SIC, Zulfahmi gagal meningkatkan prestasinya selepas beraksi di empat perlumbaan dalam saingan Moto2.

“Selepas perlumbaan terakhir di Jerez, saya dapati sangat sukar bagi saya untuk meningkatkan prestasi sejak permulaan musim. Selepas memikirkan secara mendalam dan perbincangan bersama pasukan, saya memutuskan lebih baik saya menamatkan karier dalam Moto2.

“Saya ingin merakamkan terima kasih kepada semua terutama Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali dan pengurus pasukan Johan Stigefelt atas kepercayaan mereka untuk memberi peluang kepada saya bersaing dalam Moto2.

“Saya meminta maaf kepada pasukan dan penaja jika keputusan ini dibuat secara tiba-tiba, ” kata Zulfahmi.

Pelumba kelahiran Banting, Selangor ini menggantikan Hafizh Syahrin Abdullah yang menandatangani kontrak bersama pasukan MotoGP Monster Yamaha Tech3 Februari lepas.

Walaupun menamatkan kontraknya bersama SIC Racing Team, Zulfahmi masih terbabit dalam perlumbaan dengan peranannya kini sebagai mentor program pelapis SIC, ‘Impian ke MotoGP’ – sebuah program bagi mengasah bakat baharu dalam perlumbaan dua roda.

“Saya akan menumpukan tenaga dan pengalaman saya ke arah membimbing bakat-bakat muda dalam program itu kerana matlamat kita untuk mewujudkan laluan berdaya maju ke puncak perlumbaan dua roda iaitu MotoGP. Kepada seluruh pasukan SIC Racing, saya mengucapkan terima kasih kerana membimbing dan membantu saya sehingga ke peringkat ini, ” katanya.

Pengumuman bagi pelumba yang akan menggantikan Zulfahmi akan dilakukan dalam masa minggu ini dan beliau tidak menolak akan menggunakan khidmat pelumba luar negara berikutan kekangan masa.

 

- Advertisement -