Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan sukan akuatik pada temasya Sukan Malaysia Edisi ke-17 Perlis 2014 yang dijadualkan bermula esok (28 Mei) di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Negeri Perlis, Kangar akan ditunda kepada 29 Mei hingga 1 Jun.
Keputusan untuk meminda sehari pertandingan sukan akuatik itu dibuat semata-mata demi menjamin keselamatan atlet-atlet yang bertanding ekoran masalah penyediaan kemudahan gelanggang berkenaan sebelum ini.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, penundaan tarikh bermulanya pertandingan sukan akuatik itu turut akan menyaksikan perubahan pada jadual pertandingan asal namun ia tidak akan menjejaskan kualiti mahupun jumlah acara yang dipertandingkan.
âPihak MSN mengambil berat mengenai keselamatan atlet dan memutuskan bahawa pertandingan bagi sukan akuatik ditunda sehari bagi memastikan sebarang permasalahan kemudahan infrastruktur yang mungkin timbul di pusat akuatik itu, sudah diatasi dengan sempurna.
âIa juga untuk memastikan sebarang isu teknikal juga telah diatasi sepenuhnya kerana MSN mahu melihat pertandingan akuatik Sukan Malaysia ini berjalan dengan baik selain atlet mampu memberikan persembahan berkualiti.
âPertandingan sukan akuatik juga hanya dilewatkan sehari tetapi jumlah acara dan pingat yang ditawarkan tidak berubah. Kita akan membuat semula jadual pertandingan sukan akuatik daripada lima hari kepada empat hari,â katanya di Kangar, Perlis.
Sukan akuatik pada temasya Sukan Malaysia Perlis kali ini mempertandingkan 19 acara renang yang menawarkan 38 pingat emas manakala akuatik terjun mempertandingkan 5 acara dengan jumlah 10 pingat emas ditawarkan.