Malaysia terus kempunan untuk menambah pungutan pingat dari Pusat Akuatik Optus setelah kesemua penerjun yang turun beraksi ada Jumaat gagal untuk menamatkan cabaran di kedudukan podium.

Paling hampir adalah gandingan Ooi Tze Liang-Chew Yiwei yang menamatkan saingan final 3 meter papan anjal seirama lelaki di tempat keempat dengan mengumpul 395.40 mata.

Satu lagi gandingan, Gabriel Gilbert Daim-Syafiq Putih pula hambar apabila menamatkan cabaran di tempat ketujuh dari lapan finalis dengan mengumpul 369.42 mata.

Pingat emas dimenangi oleh Jack Laugher-Chris Mears dari Kanada (436.17 mata), perak menjadi milik penerjun Kanada Philippe Gagne-Francois Imbeau Dulac (415.23 mata) manakala gangsa dimenangi Domonic Bedggood-Mathew Carter dari Australia (408.12 mata).

Sementara itu, dalam acara final 1m papan anjal wanita, Nur Dhabitah Sabri menamatkan saingan di tempat keenam dengan 235.80 mata manakala Jasmine Lai pula di tempat kelapan dengan 223.20 mata dan Kimberly Bong yang bermula dengan cemerlang terpaksa berpuas hati di tempat kesembilan dengan 220.25 mata.

Dhabitah yang sudahpun menyumbang dua gangsa sebelum ini dari acara seirama bersama Leong Mun Yee berkata, “Prestasi saya pada sebelah pagi (pusingan kelayakan) adalah jauh lebih baik berbanding di final. Ini kali pertama saya melakukan terjunan dengan teknik baharu dan masih mencari rentak.”

Pingat emas acara itu dimenangi oleh Grace Reid dari Scotland dengan 275.30 mata, perak menjadi milik Georgia Sheehan dari Australia (264.00 mata) manakala seorang lagi atlet tuan rumah Esther Qin menang gangsa (252.95 mata).

Pemburuan tambahan pingat dari sukan terjun akan diteruskan pada hari terakhir pada Sabtu apabila Nur Dhabitah, Jasmine Lai dan Kimberly turun beraksi dalam acara 3m papan anjal wanita manakala Jellson Jabilin dan Yiwei pula dalam acara 10m platform lelaki.

- Advertisement -