Oleh Muhammad Aiman

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan lagi berlembut dengan ahli gabungannya yang gagal menjelaskan bayaran gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tepat pada waktunya.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata pasukan yang seringkali berdepan masalah tunggakan dan kerap mengulangi perbuatan itu akan dipotong mata atau pasukan itu akan disingkirkan dari Liga Malaysia.

Itu amaran Tunku Mahkota Johor itu ketika mengumumkan pembayaran RM9 juta kepada semua 24 pasukan Liga-M selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco FAM pertama bagi penggal 2017-2021 di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Menurut Tunku Ismail, bayaran itu adalah baki subsidi tahunan yang akan dibayar kepada semua pasukan dengan setiap pasukan Liga Super akan menerima RM1 juta manakala pasukan Liga Premier pula RM500,000.

Kesemua pasukan telah menerima separuh daripada jumlah tersebut ketika musim bermula dan menerusi pembayaran baki ini yang akan disalurkan bermula minggu depan, Tunku Ismail berharap ia dapat meredakan sedikit krisis kewangan pasukan-pasukan yang terlibat.

“Saya tidak mahu lagi mendengar sebarang alasan apabila ahli gabungan FAM gagal melunaskan gaji pemain. Kita sepatutnya tidak mengusik wang ini tetapi kita tiada pilihan kerana kita mahu menoktahkan masalah ini.

“Mereka akan menerima wang minggu depan dan kita berikan dua minggu untuk mereka langsaikan segalanya. Jika mereka gagal, tindakan akan diambil ke atas mereka. Kita tidak akan lagi melanjutkan tempoh atau beri amaran, kita akan potong mata dan singkirkan mereka dari Liga M,” kata baginda.

Baru-baru ini, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) mendedahkan bawah masih ada dua pasukan Liga Super dan tiga pasukan Liga Premier yang masih belum melunaskan tunggakan gaji serta KWSP pemain dan pegawainya bagi musim lalu.

Untuk rekod, dalam sejarah Liga M setakat ini hanya Pahang pernah dipotong mata pada 2015 kerana masalah tunggakan gaji setelah bekas pemainnya, Mohammed Borji membawa isu tersebut ke pengetahuan badan induk bolasepak dunia, FIFA.

Sementara itu, Tunku Ismail menegaskan bahawa hukuman pemotongan mata juga akan dikenakan kepada pasukan yang mana penyokongnya menimbulkan kekecohan atau rusuhan, berbanding denda sepertimana sebelum ini.

“Penyokong tidak rasa bertanggungjawab kepada pasukan mereka dan setiap kali mereka timbulkan masalah, ianya pasukan yang menanggung akibat apabila dikenakan denda. Jadi kita akan potong mata jika penyokong timbulkan masalah dan ini sudah tentu akan lebih menyakitkan mereka,” ujarnya.

- Advertisement -