Bukan Yap Kim Hock, bukan Lee Wan Wah, tetapi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat kejutan dengan melantik Vountus Indra Mawan Saniru sebagai pembantu jurulatih beregu lelaki pasukan kebangsaan sebagai menggantikan Jeremy Gan yang meletak jawatan hujung bulan lalu.

Bekas pemain kebangsaan berusia 28 tahun itu dipilih sendiri oleh ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit dengan mengambil kira beberapa faktor termasuklah kelebihannya dalam bidang sains sukan.

Pengurus Besar BAM, Michelle Chan berkata, ā€œSoon Kit telah meneliti beberapa calon dan menilai keperluan beregu lelaki buat masa sekarang. Selepas berbincang di peringkat pengurusan, kami rasakan Vountus adalah calon terbaik buat masa sekarang. Dia akan diberi tempoh percubaan selama tiga bulan terlebih dahulu sebelum ditawarkan kontrak.ā€

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Vountus yang masih terlalu muda berbanding Kim Hock, Wan Wah serta beberapa bekas pemain lain lebih berpengalaman yang dikaitkan dengan tugas itu, Michelle berkata nama besar bukan jaminan dapat membentuk pemain yang bagus.

ā€œUsia bukan faktor penghalang, Vountus wajar dihormati . Kita percaya dia akan dapat laksanakan tugasnya dengan baik. Dia menjadi jurulatih di Belanda, berpengalaman melatih pemain di Eropah dan kita yakin dia boleh bekerjasama baik dengan pemain muda.

ā€œSelain itu Vountus mempunyai sijil sains sukan tahap tiga dan dari segi pakej memang sesuai dengan keutamaan dan apa yang kita mahu capai di masa akan datang.

ā€œMalaysia cukup bertuah kerana mempunyai ramai jurulatih berkaliber tetapi kita tidak boleh bandingkan Ferrari atau Mercedes yang mana lebih bagus, kita buat pertimbangan berdasarkan keperluan kerana di peringkat antarabangsa sains sukan menjadi keutamaan dengan menggunakan teknologi, penganalisa prestasi dan sebagainya,ā€ jelas Michelle.

Vountus yang pernah membantu skuad negara meraih pingat gangsa di Kejohanan Universiti Dunia 2014 ketika bergandingan dengan Lee Meng Yean (beregu campuran) dijadual akan memulakan tugasnya pada Ahad ini. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -