Oleh Muhammad Aiman
Pencapaian cemerlang membawa pulang tiga pingat emas, tiga perak dan satu gangsa dari Kejohanan Olahraga Remaja Asia yang menutup tirai di Vietnam pada Isnin lalu, seolah memberi petanda betapa arena olahraga tanah air yang sekian lama suram kini di landasan terbaik untuk kembali ke era kegemilangan.
Malaysia melakar pencapaian terbaik di kejohanan dwitahunan itu sejak ia diperkenalkan pada 1986 dan lebih manis ketiga-tiga pemenang pingat emas iaitu R.Kirthana, Mohd Rizzua Haizad, Khairul Hafiz Jantan beserta seorang lagi atlet pecut Badrul Hisyam Abdul Manap kini beroleh peluang untuk membuktikan kemampuan di pentas lebih besar – Kejohanan Olahraga Remaja Dunia IAAF B-20 di Poland.
Kirthana beroleh tiket ke Bydgoszcz setelah melakukan lompatan 13.20m untuk memenangi emas lompat kijang manakala Rizzua pula layak setelah melakar catatan masa 14.00s dalam laluan untuk merangkul emas acara 110m lari berpagar.
Khairul Hafiz – pelari terpantas remaja Asia yang baru – dan Badrul Hisyam pula sudahpun lebih awal mengesahkan tiket ke kejohanan itu pada Oktober tahun lalu bagi acara 100m dan 200m.
Namun seperti mana pernah dilaporkan menerusi ulasan www.sports247.my pada 21 April lalu (https://sports247.my/2016/04/badrul-hisyam-khairul-hafiz-korbankan-kejohanan-dunia-untuk-sukma), Khairul dan Badrul dilihat bersedia mengorbankan Kejohanan Dunia itu untuk beraksi di SUKMA berikutan pertembungan tarikh dan jejak mereka itu hampir pasti akan dituruti oleh kedua-dua Kirthana dan Rizzua.
Kirthana, atlet berusia 19 tahun dari Perak menyerahkan sepenuhnya kepada jurulatih, Victor Sonikov untuk menentukan kejohanan mana yang terbaik untuk disertainya manakala Rizzua awal-awal lagi sudah membayangkan kesediaan melupakan Kejohanan Dunia yang akan berlangsung dari 19-24 Julai itu.
“Sarawak sudah tentunya tidak akan melepaskan saya untuk ke Poland, apatah lagi kali ini mereka menjadi tuan rumah. Memang rasa macam satu kerugian tidak pergi ke Poland kerana ini kali pertama saya layak tapi saya bersedia lupakan kejohanan itu untuk bantu negeri kelahiran saya dan gembirakan kedua-dua ibu bapa saya,” kata Rizzua.
Sementara Khairul Hafiz pula sebelum ini menyatakan bahawa keputusan memilih beraksi di SUKMA yang akan berlangsung dari 22-31 Julai adalah keputusannya sendiri memandangkan dia teruja dengan SUKMA yang pernah melahirkan ramai atlet pecut yang berjaya.
Apa sekalipun alasan mereka, ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas berpendapat platform sudah tersedia untuk atlet ini menguji kemampuan di pentas lebih tinggi dan berharap mereka tidak mensesiakan peluang ini.
“Atlet kita telah membuktikan mereka tidak gentar dan boleh bersaing dengan atlet-atlet hebat Asia yang lain untuk meraih emas. Kini kita ada tiga atlet remaja terbaik Asia dan mereka perlu terus berusaha mencatat keputusan lebih baik di kejohanan yang lebih besar.
“Sudah tentu saya mahu mereka bertanding di Remaja Dunia untuk menguji prestasi mereka di samping atlet remaja terbaik dunia lain. Saya sangat berharap persatuan negeri akan melepaskan mereka kerana ini adalah satu-satunya peluang yang mereka ada untuk bersaing di kejohanan remaja dunia. SUKMA, mereka boleh ambil bahagian pada 2018,” ujar Zainal.
Di Ho Chi Minh tempoh hari, Malaysia mengatasi dua kuasa besar olahraga Asia Tenggara iaitu Thailand dan tuan rumah Vietnam untuk menduduki tempat keempat keseluruhan di belakang Jepun (13-10-4), China (11-7-4) dan India (7-4-6).