Oleh Ku Mohd Lufti

Hanya seorang wakil negara meneruskan saingan ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Thailand 2017 selepas berjaya melepasi pusingan suku akhir.

Lee Zhi Jia yang tidak diletak selaku pemain pilihan turun berdepan pemain tuan rumah yang juga pilihan pertama, Tanongsak Saensomboonsuk.

Zhi Jia mendominasi diawal set pertama dan berjaya mendahului 7-2 pada satu ketika, namun Tanongsak kembali tenang dang mula mengawal permainan untuk merapatkan jurang mata.

Perlawanan semakin rancak memasuki penghujung set pertama apabila kedua dua pemain terikat 18 sama.

Zhi Jia ternyata lebih tenang untuk memburu mata sekaligus melakar kemenangan 21-18.

Tanongsak yang menduduki ranking ke 11 dunia ini tidak mahu kecewa didepan penyokong sendiri dan cuba memberi tentangan di set kedua.

Namun, penguasaan gelanggang Zhi Jia serta smash kencang ternyata sukar untuk dibaca dengan kemas oleh Tanongsak Saensomboonsuk.

Pertarungan keseluruhan selama 38 minit akhir memihak Lee Zhi Jia dengan kemenangan 21 – 12 mengecewakan Tanongsak sekaligus memberikan slot separuh akhir kepada Zhi Jia yang akan berdepan seorang lagi wakil tuan rumah, Kantaphon Wangcharoen.

Dalam pada itu, wakil tunggal perseorangan wanita Sonia Cheah Su Ya gagal mengikuti jejak Zhi Jia apabila tewas kepada wakil tuan rumah, Busanan Ongbamrungphan.

Diletak selaku pilihan pertama, Busanan tidak berdepan tugas sukar dan hanya memerlukan 35 minit untuk melakar kemenangan straight set 21-7, 21-18.

Nasib malang turut menimpa gandingan bergu lelaki, Chooi Kah Ming – Low Juan Shen yang turut tewas ditangan wakil tuan rumah.

Kah Ming dan Juan Sheng yang diletak selaku pilihan kelapan kejohanan tewas straight set di tangan pilihan ketiga Kittinupong Kedren – Dechapol Puavaranukroh straight set  21-18, 21-17 dalam masa 32 minit.

- Advertisement -