kenny-goh

Oleh Ku Mohd Lufti

Badminton Asia, (BAC) menerima pengtirafan apabila memenangi Anugerah Emas di bawah kategori Program Sukan Belia Terbaik Tahunan di Persidangan dan Anugerah Industri Sukan Asia (SPIA) 2016.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh BAC, anugerah itu disampaikan kepada  Ketua Pegawai Operasi, Kenny Goh dalam majlis makan malam di Bangkok, Thailand.

BAC antara lapan calon yang disenaraikan bagi anugerah Program Sukan Belia Terbaik Tahunan.

“Ini menunjukkan program pembangunan kami dipandang tinggi hasil pengiktirafan terhadap visi, rangka kerja yang mantap dengan pelaksanaan yang praktikal,” tambah kenyataan itu.

“Kami berterima kasih kepada anggota gabungan, penaja, rakan dan pemegang taruh yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama. Ini adalah kejayaan yang Badminton Asia mahu kongsikan dengan anda semua,” tambah BAC.

Anugerah SPIA mengiktiraf dan merai pencapaian industri sukan di rantau Asia yang telah menjadi destinasi utama bagi acara diperinkat seranta dan bertaraf antarabangsa dan ia meningkat dari tahun ke tahun dari segi kekerapan, saiz dan perbelanjaan.

Persidangan dua hari bertemakan ‘Perniagaan Sukan – Industri Sukan Asia Dalam Laluan Pantas II’ bertujuan memudahkan kerjasama dan membantu memacu amalan terbaik dalam industri.

Selain itu, ia juga menyediakan maklumat terkini dan penyelidikan dalam pemasaran sukan, tajaan, teknologi, penyiaran, perjalanan dan pelancongan, pemasaran serta pengurusan acara.

kenny

- Advertisement -