D'Herbs Holdings

Oleh Muhammad Aiman

Kecewa imej dan reputasinya tercemar dek tuduhan cuba merampas hak rakyat Kedah, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman tampil menafikan dakwaan mengenai cubaannya untuk mendapatkan tanah di Jabi, Pokok Sena secara percuma yang dikatakan sebagai satu daripada syarat penajaan kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Pengasas syarikat kosmetik D’Herbs Holding Sdn Bhd itu menegaskan isu tanah di Pokok Sena itu akan tergadai seandainya KFA meneruskan perjanjian tajaan RM30 juta selama tiga tahun bersama syarikatnya untuk pembangunan bolasepak Kedah tidak sepatutnya timbul dan merupakan satu penipuan.

Tegas usahawan kosmetik yang terkenal dengan tagline ‘terlajak laris’ itu, pengambilan tanah seluas 60 hektar di Jabi hanya cadangannya dalam usaha membangunkan tanah tersebut yang terbengkalai  menerusi usahasama dengan anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah.

“Ia hanya cadangan dan kami tidak memaksa, saya cadangkan tanah itu dibangunkan untuk pelancongan dengan keuntungan dibahagi sama rata dengan kerajaan negeri. Tiada istilah saya mahukan tanah itu secara percuma, apa yang sana nak adalah untuk pelaburan. Kalau betul saya nak tanah, dengan RM30 juta saya boleh dapat tanah di Selangor.

“Adakah salah saya sebagai seorang ahli perniagaan ingin memajukan lagi ekonomi dan bolasepak di negeri Kedah? Saya kecewa dengan dakwaan seolah-olah cuba mengambil hak rakyat Kedah dan ini adalah satu penipuan,” ujar Aliff Syukri dalam sidang media di ibu pejabatnya pada Jumaat.

Menerusi usahasama yang dicadangkan itu, Aliff Syukri berhasrat membangunkan bandar pelancongan D’Herbs, selain membina taman tema dan zoo di kawasan itu yang sekian lama terbengkalai dalam masa sama menyediakan peluang perkerjaan kepada rakyat negeri itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Aliff Syukri turut membidas KFA kerana bersikap tidak professional apabila mendedahkan butiran dan terma perjanjian meskipun telah bersetuju supaya perkara itu tidak dimaklumkan kepada orang ramai.

“Saya jangka akan ada rundingan berhubung draf perjanjian pada 27 April lalu tetapi sebaliknya KFA telah membelakangkan saya dan membuat pengumuman tanpa mengadakan perbincangan dengan saya terlebih dahulu. Saya harapkan KFA akan beri maklumbalas dalam bentuk bertulis tetapi terjadi sebaliknya,” tambahnya.

Kontroversi mengenai isu penajaan ini timbul apabila KFA menerusi setiausaha kehormatnya Datuk Aminuddin Omar pada Rabu lalu memaklumkan bahawa KFA menolak tawaran tajaan sebanyak RM30 juta selama tiga tahun oleh D’Herbs kerana tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan.   

- Advertisement -