perak.celebrates

Oleh Muhammad Aiman

Keputusan seri menentang pasukan pilihan, Johor Darul Takzim membawa Perak semakin hampir ke aksi suku akhir Piala Malaysia namun ia tidak cukup menggembirakan pengendalinya, Karl Heinz Weigang.

Weigang yang lantang mengkritik Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP)  dengan menyelar badan pengendali jadual Liga Malaysia itu sebagai merosakkan bolasepak tanah air pada minggu lalu, sekali lagi tampil menyuarakan rasa tidak puas hatinya dengan jadual padat yang menurutnya ‘membunuh’ kualiti yang sudah sedia terjejas.    

“Saya ingin katakan kepada Kevin Ramalingam (CEO FMLLP), jadual ini membunuh pemain-pemain kita, ia memberi kesan kepada kualiti bolasepak di negara ini dan saya cukup kecewa dengan situasi ini.

“Mereka kata apa gunanya ada skuad yang besar kalau tidak reti buat penggiliran pemain, skuad saya ada 27 pemain, tiga pemain sudah sedia alami kecederaan dan empat lagi cedera pada perlawanan menentang JDT. Kecederaan ini berlaku kerana bermain terlalu banyak perlawanan dengan tempoh rehat yang pendek.

“Bagaimana kami mahu terus bersaing apabila senarai kecederaan bertambah panjang setiap minggu. Saya tidak bercakap mengenai Perak sahaja, saya tahu banyak lagi pasukan lain berdepan masalah sama,” ujar Weigang dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Benar kata Weigang, bukan dia seorang tetapi ramai lagi jurulatih yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kepadatan melampau jadual Liga-M antaranya Velizar Popov (Kelantan), Ismail Zakaria (Kuala Lumpur) serta Zainal Abidin Hasan (bekas jurulatih Selangor).

Begitupun keluhan mereka sekadar keluhan tidak bersambut memandangkan Kevin dalam satu taklimat bersama media pada minggu lalu, sudahpun memaklumkan bahawa tidak akan ada perubahan boleh dibuat pada jadual musim ini yang perlu dihabiskan sebelum November selain ianya dirangka dengan mengambil kira pelbagai aspek.

Sementara itu, kehilangan beberapa pemain tonggak akibat kecederaan termasuk dua pemain import Xhevahir Sukaj dan Elias Fernandes, memaksa Weigang menyandarkan harapan kepada pemain tempatan ketika turun menentang JDT dan dia berpendapat pasukannya kini lebih seimbang dan boleh menyaingi mana-mana pasukan dalam Liga-M.

“Sekalipun tanpa pemain import, kami tidak merasakan ketiadaan mereka kerana pemain-pemain tempatan membuktikan mereka juga sama hebat. Sebab itulah saya selalu katakan, saya tidak peduli sama ada kamu pemain import atau tempatan, yang penting saya mahu kamu buktikan kamu layak beraksi bersama skuad utama,” tegasnya.

Dengan tujuh mata dari empat perlawanan, Perak kini menerajui kedudukan Kumpulan C namun mereka masih mempunyai dua perlawanan menentang PDRM yang turut mengumpul tujuh mata, serta PKNS Selangor (4 mata) di mana kedua-dua pasukan itu turut mempunyai peluang seimbang memburu tempat ke suku akhir.

- Advertisement -