YB Brig Jen Khairy menyifatkan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai hak milik rakyat dan memberi peluang kepada orang biasa yang bukan dari kalangan pemain bola sepak profesional agar dapat merasa aura bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil.

KESIAPSIAGAAN Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai gelanggang temasya Kuala Lumpur 2017 diuji menerusi acara Hari Komuniti Bola Sepak di venue berkenaan pada Jumaat (19 Mei 2017).

Suasana meriah nyata sekali dengan kehadiran peminat dan orang awam yang berpeluang merasai sendiri aura berada di stadium berwajah baru yang akan menjadi venue pembukaan, penutup, bola sepak dan olahraga pada Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN pada Ogos dan September ini.

Acara sehari suntuk Hari Komuniti Bola Sepak itu, yang merupakan acara sukan pertama di stadium berkenaan, digunakan untuk menguji tahap kesediaan venue berkenaan menjelang bermulanya Kuala Lumpur 2017 Ogos ini.

Berpuas hati dengan keadaan padang Stadium, Menteri Belia dan Sukan YB Brig Jen Khairy Jamaluddin berkata ketahanan padang dan kesesuaian pelbagai fasiliti lain diuji bagi memastikan segalanya siap sedia menjelang bermula Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN.

Stadium yang menjalani kerja naik taraf sejak 2015 itu merupakan antara venue yang terletak dalam kluster Bandar Sukan Kuala Lumpur yang turut menempatkan Pusat Akuatik, Axiata Arena, Pusat Skuasy Nasional dan Stadium Hoki Nasional, akan menjadi gelanggang acara Pembukaan dan Penutup selain bola sepak dan olahraga.

Sejak awal petang, YB Brig Jen Khairy hadir bagi memeriksa sendiri keadaan padang selain terbabit secara langsung dalam perlawanan yang juga melibatkan pemain Akademi Tunas berusia tujuh hingga 12 tahun Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Enam kelab amatur yang beraksi pada kejohanan yang diilhamkan YB Brig Jen Khairy itu termasuk Majidee FC, Kupang FC, Shah Alam Antlers, Pemanis FC , Subang City FC dan BNM FC.

“Keadaan padang?…anda boleh lihat sendiri. Tidak ada mana-mana kawasan yang rosak atau rumput yang tercabut.

“Kita menganjurkan perlawanan ini agar dapat lihat dan uji kemudahan bilik persalinan, skrin gergasi, lampu limpah, sistem suara dan sebagainya,” kata YB Brig Jen Khairy.

“Segala maklumat yang diperolehi pada Hari Komuniti akan diambil maklum, supaya apabila berlakunya perlawanan lebih besar samada di peringkat Sukan SEA, Piala Malaysia atau melibatkan pasukan kebangsaan, stadium ini sudah bersedia,” tambah beliau.

YB Brig Jen Khairy menyifatkan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai hak milik rakyat dan memberi peluang kepada orang biasa yang bukan dari kalangan pemain bola sepak profesional agar dapat merasa aura bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil.

- Advertisement -