


Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa komited dalam memperkasa pembangunan murid secara holistik melalui sukan sebagai salah satu medium pembentukan sahsiah, disiplin dan daya kepimpinan.Â
Justeru, pendekatan penganjuran pertandingan berkonsepkan liga telah diambil bagi menyediakan platform yang lebih sistematik dan berdaya saing untuk atlet murid menyerlahkan potensi masing-masing.
Sejak tahun 2008, Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), KPM telah memulakan pelaksanaan Liga Bola Sepak KPM yang merangkumi Liga Piala Menteri Pendidikan Bawah 14 Tahun dan Liga Piala Remaja KPM–FAM Bawah 17 Tahun.
Program ini terbukti berkesan sebagai medan pembangunan bakat sukan secara berstruktur.
Kejayaan program tersebut telah mendorong peluasan penganjuran ke sukan lain seperti Grand Prix Sepaktakraw (2011) dan Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM Bawah 14 Tahun (2012).
Susulan keberkesanan pendekatan liga ini, pada tahun 2013 penganjuran turut merangkumi sukan Hoki, Olahraga dan Badminton sebagai langkah strategik dalam pembangunan atlet murid berprestasi tinggi.
Penganjuran Liga Sukan KPM turut mendapat kerjasama erat daripada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) yang berkaitan.
Komitmen rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Bagi tahun 2025, Liga Sukan KPM diteruskan dengan melibatkan tiga jenis sukan utama iaitu bola jaring, sepak takraw dan olahraga.
Liga ini menghimpunkan penyertaan murid dari Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan Pusat Latihan Daerah (PLD) di seluruh negara.
Sirkit pertama liga bermula pada 25 hingga 27 April 2025 di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Johor sebagai pengelola, diikuti sirkit kedua yang telah berlangsung di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu, Terengganu pada 11 hingga 13 Julai 2025, melibatkan tiga venue utama iaitu Dewan Arena Tertutup Gong Badak, Sekolah Sukan Malaysia Terengganu, dan Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail.
Sirkit ketiga, yang juga pusingan akhir, dijadualkan berlangsung pada penghujung Oktober 2025 di Universiti Putra Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional sebagai venue utama.
Menurut Encik Abdul Hadi Bin Abdul Rahman, Ketua Penolong Pengarah, Unit Sukan 2, BSKK, matlamat utama Liga Sukan KPM adalah untuk meningkatkan penyertaan dan pembangunan bakat atlet murid bermula dari peringkat sekolah rendah hingga menengah.
“Program ini selari dengan aspirasi negara untuk membentuk barisan atlet pelapis negara. Ia juga bertindak sebagai jambatan kepada murid untuk diserap ke program pembangunan sukan berprestasi tinggi dan seterusnya mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau lagi, liga ini bukan sahaja menjadi medan pembangunan atlet muda, malah sebagai wahana pembentukan jati diri, nilai disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan murid.
Ia turut membuka ruang kolaborasi antara sekolah, jurulatih dan persatuan sukan negeri bagi membina ekosistem pembangunan sukan pendidikan yang mampan.
“Melalui pelaksanaan liga secara konsisten, KPM yakin usaha ini akan terus mencungkil bakat sukan dalam kalangan murid dan menyediakan landasan kukuh untuk kesinambungan kecemerlangan sukan negara,” katanya.
KPM turut menyeru agar semua pihak termasuk sekolah, PIBG, komuniti setempat dan badan sukan terus menyokong aspirasi pembangunan sukan murid ke arah kecemerlangan menyeluruh.
































