Bagi memperluaskan skop sukan negara dan bergerak seiring dengan pembangunan sukan dunia, Majlis Sukan Negara (MSN) bakal menubuhkan satu unit khas bagi memperhebatkan arena E-Sukan di Malaysia.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mengakui Malaysia kini berada di hadapan kelok perubahan selain penubuhan unit tersebut bertujuan untuk mengiktiraf E-Sukan sebagai salah satu sukan di negara.

Menurut Khairy, peruntukan dan bantuan secukupnya juga akan diberikan MSN kepada atlet-atlet E-Sukan sebagai persediaan untuk berlatih menghadapi temasya Sukan Asia 2022 yang turut mempertandingkan acara E-Sukan.

“Satu unit baharu di MSN akan diwujudkan untuk melihat kepada E-Sukan kerana ia adalah sukan yang akan dipertandingkan di Sukan Asia 2022. Maka dengan penubuhan unit ini, kita akan iktiraf E-Sukan sebagai sukan dan juga akan memberi peruntukan.”

“Ini adalah kenyataan dan kita tidak boleh ketinggalan, Majlis Olimpik Asia (OCA) telah mengiktiraf E-Sukan sebagai satu sukan untuk Sukan Asia 2022 dan kita perlu turut serta,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan 100PLUS bersama Bandar Sukan Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

“Ketua Pengarah MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) akan mencari pegawai-pegawai yang mahir dan arif dalam E-Sukan ini yang boleh berinteraksi dan mendampingi komuniti E-Sukan itu. Kalau kita nak kejar pingat, saya difahamkan kita ada atlet E-Sukan yang bertaraf dunia jadi mungkin kita boleh libatkan mereka di dalam unit baharu MSN itu,” katanya.

Antara contoh E-Sukan ialah permainan video game Dota dan bola sepak.

Pada masa sama, Khairy berkata sukan papan luncur dan mendaki turut menjadi antara agenda MSN dalam memperluaskan skop sukan negara.

Menurut beliau, penggiat dua sukan ekstrem terbabit berpeluang bertanding serta menunjukkan bakat pada kejohanan peringkat kebangsaan yang bakal diadakan buat julung kali bermula tahun hadapan sebagai langkah awal mengenal pasti atlet untuk dibawa bertanding di Sukan Asia 2022.

“Saya juga telah mengarahkan MSN untuk menganjurkan kejohanan kebangsaan bagi dua sukan terbabit mengikut garis peraturan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) kerana ia adalah dua sukan baharu dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.- BERNAMA

- Advertisement -