Omneya Abdel Kawy
Omneya Abdel Kawy

Oleh Muhammad Aiman

Ratu skuash negara, Dato’ Nicol Ann David seperti dijangka tidak bermasalah menempah tiket beraksi di separuh akhir Kejohanan Jemputan Wanita SRAM 2016 setelah melakar kemenangan kedua dengan menewaskan pemain India, Joshna Chinnapa di Pusat Skuash Nasional, Bukit Jalil.

Kemenangan 11-8, 11-8, 12-10 dalam masa 40 minit ke atas Joshna, pemain nombor 10 dunia membolehkan Nicol yang mudah membenam Jenny Duncalf dari England pada aksi pertama menduduki tangga teratas Kumpulan A.

“Saya beraksi lebih baik dari satu set ke satu set, Joshna tidak memberi laluan mudah dan cuba bangkit memberi tentangan pada set ketiga. Ianya bagus untuk tewaskannya dan mara ke separuh akhir. Saya berharap dapat tampilkan permainan sebenar saya di separuh akhir nanti,” ujar pemain nombor empat dunia itu.

Bekas pemain nombor satu dunia itu menjadikan kejohanan edisi sulung ini sebagai kejohanan pemanas badan dan persiapan untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Hong Kong bulan depan yang juga pembuka tirai Jelajah PSA musim 2016/2017.

Satu lagi tempat di separuh akhir dari Kumpulan A akan ditentukan oleh Joshna dan Duncalf yang akan bertemu dalam perlawanan terakhir kumpulan esok (Jumaat).

Sementara itu, pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy terlepas peluang untuk turut mengesahkan kemaraan awal ke kelompok empat terakhir dari Kumpulan B setelah tunduk kepada pemain New Zealand, Joelle King.

Omneya yang menewaskan pemain negara Delia Arnold pada Rabu, tewas 5-11, 12-14 dan 4 -11 dalam masa 30 minit kepada Joelle sekaligus menyaksikan kesemua tiga pemain masih mempunyai peluang sama rata untuk merebut tempat di separuh akhir.

Situasi ini menyaksikan Delia perlu menang straight set (3-0) ke atas Joelle pada Jumaat untuk menghidupkan peluangnya dan sekiranya dia mencicirkan walaupun satu set, maka dia akan tersingkir.  

- Advertisement -