tun.jeanne

Oleh Ku Mohd Lufti

Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar diatas pengumuman insentif dan elaun bulanan seumur hidup terhadap atlet paralimpik negara.

Khairy semalam mengumumkan ganjaran setaraf seperti atlet olimpik dimana mengumumkan atlet paralimpik yang berjaya meraih pingat di Brazil, akan menerima elaun bulanan seumur hidup sebanyak RM5,000 bagi pingat emas, RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).

Malah, Tun Jeanne mengharapkan rakyat Malaysia memberikan sokongan dan perhatian kepada atlet paralimpik negara.

“Kita sepatutnya berasa bertuah kerana negara ini mempunyai golongan paralimpian yang berbakat dan sebenarnya merekalah juara di hati kita semua.

“Saya hanya harap mereka akan mempamerkan aksi yang bertenaga dan memberikan persembahan terbaik di temasya itu,” kata Tun Jeanne Abdullah.

Jeanne berkata beliau juga tidak mahu meletakkan apa-apa sasaran buat kontingen negara pada temasya sukan yang akan bermula pada 7 hingga 18 Sept ini.

Seramai 21 atlet akan menyertaiSukan Paralimpik di Rio de Janeiro dan antara yang dilihat berpeluang meraih pingat ialah atlet olahraga iaitu Abdul Latif Romly, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

- Advertisement -